Pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan. Bantuan-bantuan ini diperkenalkan melalui pelbagai Kementerian atau Jabatan di peringkat Persekutuan atau Negeri sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing.
Salah satunya adalah apabila pihak Kerajaan Persekutuan membenarkan pengeluarakan KWSP melalui pelbagai program antaranya seperti i-Sinar, i-Citra, i-Lestari dan sebagainya.
Namun begitu, sebenarnya terdapat pelbagai lagi faktor yang membenarkan para ahli KWSP mengeluarkan simpanan mereka, sama ada secara penuh, sebahagian atau jumlah tertentu.
Berikut adalah senarai perkara yang membenarkan pengeluaran KWSP secara penuh: –
Mencecah Usia 55 Tahun
Untuk ahli KWSP yang telah mencecah usia 55 tahun, caruman yang diterima ke dalam Akaun 1 dan Akaun 2 mereka akan digabungkan ke dalam Akaun 55. Ahli kemudiannya boleh mengeluarkan kesemua atau sebahagian daripada simpanan mereka daripada akaun ini pada bila-bila masa.
Mencapai Usia 60 Tahun
Sekiranya ahli memilih untuk terus bekerja selepas usia 55 tahun, caruman yang diterima selepas itu akan dikreditkan ke dalam Akaun Emas yang hanya boleh dikeluarkan apabila mereka mencapai usia 60 tahun.
Pada umur 60 tahun, kesemua simpanan yang terkumpul dalam Akaun 55 (jika ada) dan Akaun Emas akan digabungkan untuk pengeluaran. Ahli boleh memilih untuk membuat pengeluaran secara sekali gus atau sebahagian pada bila-bila masa untuk membiayai persaraan mereka.
Meninggalkan Negara
Bagi ahli yang telah melepaskan atau melucutkan taraf kewarganegaraan Malaysia untuk berhijrah ke negara lain; atau ekspatriat; penduduk tetap (PR); atau pekerja asing yang kembali ke negara asal, mereka boleh memilih untuk mengeluarkan kesemua simpanan di KWSP.
Hilang Upaya
Kepada ahli yang keupayaan fizikal atau mental mereka terjejas sehingga menghalang mereka untuk bekerja, mereka boleh membuat pengeluaran penuh KWSP. Malah, pihak KWSP akan memberikan sumbangan sebanyak RM5,000 bagi meringankan beban mereka.
SERTAI SALURAN TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja
Meninggal Dunia
Untuk ahli yang telah meninggal dunia, ia sekaligus membenarkan pengeluaran simpanan mereka di KWSP untuk para waris mereka. Oleh itu, pihak KWSP sangat menggalakkan supaya para ahlinya membuat penamaan bagi membolehkan waris terdekat mengeluarkan simpanan KWSP tanpa sebarang kesulitan.
Pengeluaran KWSP
Bagi urusan pengeluaran ini, ia boleh dibuat secara atas talian melalui e-Pengeluaran (i-Akaun) KWSP atau cawangan-cawangan KWSP terdekat.
Pembayaran itu kemudiannya akan dikreditkan ke akaun bank ahli seperti mana yang dinyatakan ketika membuat permohonan.
Maklumat lengkap dan permohonan i-Lindung, ia boleh diteliti di Portal Rasmi KWSP – DI SINI.