Pakej Perlindungan Rakyat Dan pemulihan Ekonomi (PEMULIH) telahpun diumumkan pada petang tadi oleh YAB Perdana Menteri. Semestinya perkara ini sesuatu yang dinanti-nantikan oleh Rakyat Malaysia. Dikongsikan dibawah senarai bantuan dan pakej yang berkaitan dengan pekerjaan samada yang baru mula mencari pekerjaan kepada yang telah hilang pendapatan.
Senarai Bantuan Dan Pakej Bantuan Untuk Pekerja
1. Bantuan Kehilangan Pendapatan.
Pada bulan Oktober nanti, sebanyak 500 ringgit akan disalurkan kepada pekerja yang kehilangan pendapatan berdasarkan data KWSP atau PERKESO dalam tahun 2021. Bantuan ini dijangka memanfaatkan sehingga 1 juta ahli yang melibatkan implikasi kewangan 500 juta ringgit.
2. Elaun Mencari Pekerjaan
Kerajaan akan memperluaskan Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum PERKESO terutamanya graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal. Mereka bolehlah mendaftar di bawah platform MYFutureJobs dan bakal menerima elaun sekurang-kurangnya 300 ringgit. Selain itu, Kerajaan akan memperuntukkan 125 juta ringgit melalui HRD Corp untuk melaksanakan inisiatif Place and Train di bawah program Janapreneur terutamanya kepada belia lepasan sekolah dan graduan. Inisiatif ini dijangka membuka peluang kepada 30 ribu orang untuk mengikuti program latihan kemahiran dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan. Pihak MDEC pula akan menambah baik program sedia ada iaitu eRezeki dan GLOW bagi membantu lebih 20 ribu pencari pekerja dalam ekonomi gig.
3. PenjanaKerjaya 3.0
Di bawah Majlis Pekerjaan Negara atau NEC, Kerajaan akan mencipta peluangpeluang pekerjaan dan penempatan latihan kemahiran melalui kerjasama strategik antara agensi Kerajaan dan pemain industri. Melalui program PenjanaKerjaya oleh PERKESO, Kerajaan telah menyediakan insentif kewangan kepada majikan yang menyediakan peluang pekerjaan baharu. Sehingga kini, sebanyak 170 juta ringgit telah disalurkan yang telah dimanfaatkan lebih 10,600 majikan dan 75,800 pekerja. Memandangkan PenjanaKerjaya ini dijadual berakhir pada akhir Jun ini, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan program ini dan dijenamakan sebagai PenjanaKerjaya 3.0 dengan beberapa penambahbaikan. Ini antaranya mengurangkan had kelayakan gaji daripada 1,500 ringgit kepada 1,200 ringgit untuk program Malaysianisation supaya memberi lebih dorongan kepada majikan untuk mengganti pekerja asing dengan pekerja tempatan. Selain itu, tempoh kontrak penggajian juga akan dilonggarkan daripada 12 bulan kepada 6 bulan bagi kategori pekerja berusia 50 tahun ke atas, golongan OKU dan bekas banduan
4. Bantuan Golongan Kurang Upaya
Bagi membantu golongan kurang upaya yang telah kehilangan pekerjaaan atau ketiadaan kerja, dan bukan penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat sedia ada, Kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan kewangan 500 ringgit seorang untuk tempoh tiga bulan. Untuk itu, 30 juta ringgit diperuntukkan bagi memanfaatkan seramai 20 ribu orang OKU.
Diharapkan bantuan yang disalurkan dapat memberi manfaat kepada semua yang sedang mencari pekerjaan dan yang telah hilang pendapatan.