Banyak jenis bantuan dan inisiatif telah diperkenalkan oleh Kementerian atau Jabatan Kerajaan tertentu sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing. Hal yang sama juga di bawah Belanjawan 2024 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada tahun lalu.
Antara bantuan yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2024 adalah Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Ini adalah penjelasan lanjut tentang bantuan kewangan ini: –
Bantuan SARA (Sumbangan Asas Rahmah)
Sumbangan Asas Rahmah (SARA) adalah bantuan tambahan yang diberikan kepada para penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang menepati syarat-syarat khusus. Ia juga merupakan bantuan subsidi bersasar kepada rakyat yang paling terkesan dengan gelumang kos sara hidup.
Kadar SARA yang ditetapkan adalah sebanyak RM1,200 kepada isi rumah/warga emas dan RM600 kepada penerima bujang. Berikut adalah kriteria kelayakan SARA tahun 2024:
- Warganegara Malaysia; dan
- Lulus Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kategori Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas Tiada Pasangan; dan
- Tersenarai sebagai penerima Miskin Tegar / Miskin eKasih dalam rekod data eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) sehingga 31 Oktober 2023.
Dimaklumkan juga bahawa Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diberikan secara automatik kepada yang layak dan tidak melibatkan sebarang permohonan.
Pembayaran SARA
Pembayaran SARA akan dibuat dengan dua cara bagi penerima di Semenanjung Malaysia dan Sabah/Sarawa/Labuan. Berikut adalah kaedah-kaedahnya:
- Penerima dari Semenanjung Malaysia
- Penerima akan menerima bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai (cashless) berjumlah RM100 / RM50 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2024 – Disember 2024) secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima. Penerima SARA boleh membeli barangan runcit asas daripada kategori produk yang diluluskan di pasar raya / kedai runcit terpilih seluruh negara menggunakan MyKad.
- Penerima dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan
- Bayaran RM600 / RM300 dua kali setahun (19 Februari 2024 dan 12 Ogos 2024) mengikut kategori melalui pengkreditan ke akaun bank / secara tunai, sama seperti kaedah pembayaran STR 2024.
Cara Menggunakan SARA
Bagi penerima SARA di Semenanjung Malaysia melalui MyKad, ia boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas terpilih daripada 13 kategori produk yang diluluskan iaitu beras, roti, telur, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, makanan dalam tin, bahan perasa, produk kebersihan, ubat-ubatan dan barangan persekolahan.
SERTAI SALURAN TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja
Pada ketika ini, terdapat lebih daripada 600 rakan runcit di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco), Lulu Supermarket, serta pasar raya dan pasar mini bebas.
Berikut cara membuat pembelian melalui MyKad:
- Pilih Barangan Keperluan
- Penerima bantuan boleh membeli barangan keperluan berdasarkan 13 kategori produk yang mempunyai label MyKasih di rak tanda harga.
- Tunjuk MyKad Untuk Pengesahan
- Juruwang menyemak status MyKad penerima bantuan.
- Imbas Kod Barangan
- Juruwang mengimbas setiap barang keperluan asas yang ingin dibeli mengikut kategori yang dibenarkan.
- Bayar Menggunakan MyKad
- Penerima bantuan memasukkan nombor pin 6-digit untuk mengesahkan transaksi pembelian.
- Simpan Resit Untuk Semakan
- Penerima bantuan menyimpan resit untuk menyemak transaksi pembelian.
Baki elaun bulanan yang tidak habis digunakan akan dibawa ke bulan-bulan seterusnya dan boleh digunakan bersama dengan elaun bulan semasa. Namun begitu, sebarang baki elaun yang tidak digunakan sepenuhnya pada akhir tempoh program iaitu 31 Disember 2024 akan luput secara automatik.
Untuk maklumat lebih teliti berkenaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sila rujuk di Portal Rasmi MyKasih – DI SINI.