Banyak jenis bantuan dan inisiatif telah diperkenalkan oleh Kementerian atau Jabatan Kerajaan sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing. Hal yang sama juga di bawah Belanjawan 2024 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada tahun lalu.
Antara bantuan yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2024 adalah bantuan tambahan STR yang dikenali sebagai Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Ini adalah penjelasan lanjut tentang bantuan tambahan ini: –
Bantuan SARA
Pada tahun 2024, pihak Kerajaan telah menambahbaik program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebagai bantuan subsidi bersasar kepada rakyat yang paling terkesan dengan gelumang kos sara hidup. Ia juga menyasarkan untuk mengangkat taraf ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan.
Antara penambaikan yang dilaksanakan adalah:
- Memperluas penerima yang layak untuk SARA merangkumi golongan miskin dan miskin tegar, berbanding tahun 2023 yang hanya terhad kepada miskin tegar;
- Meningkatkan kadar bantuan untuk isi rumah SARA kepada RM1,200 berbanding RM600 pada tahun 2023. Manakala, kadar untuk golongan bujang kekal RM600; dan
- Mengambil kira maklum balas penerima, penggunaan kredit program SARA diperluas daripada hanya makanan asas kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.
Pada tahun 2024 ini, SARA dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding tahun 2023, iaitu hanya 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta.
Mereka yang layak menerima SARA adalah:
- Warganegara Malaysia;
- Lulus Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kategori Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas Tiada Pasangan; dan
- Tersenarai sebagai penerima Miskin Tegar / Miskin eKasih dalam rekod data eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) sehingga 31 Oktober 2023.
Kaedah Pelaksanaan SARA
Terdapat dua kaedah pelaksaaan SARA, iaitu disalurkan secara bulanan iaitu RM100 sebulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM50 sebulan untuk golongan bujang melalui MyKad penerima-penerima di Semenanjung Malaysia.
Manakala, penerima dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, bantuan ini akan disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM300 untuk golongan bujang pada 19 Februari 2024 (Isnin) dan 12 Ogos 2024 (Isnin) melalui pengkreditan ke akaun bank/secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara.
Cara Mengggunakan SARA
Bagi penerima SARA melalui MyKad, ia boleh digunakan untuk membeli barangan runcit asas daripada kategori produk yang diluluskan di pasar raya / kedai runcit terpilih seluruh negara.
Pada masas ini, terdapat lebih daripada 600 rakan runcit di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco), Lulu Supermarket, serta pasar raya dan pasar mini bebas.
Penerima boleh membeli barangan keperluan asas daripada 13 kategori produk yang diluluskan iaitu beras, roti, telur, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, makanan dalam tin, bahan perasa, produk kebersihan, ubat-ubatan dan barangan persekolahan.
Dimaklumkan bahawa pembelian adalah terhad kepada barangan keperluan asas daripada 13 kategori produk yang diluluskan sahaja. Pembelian selain barangan tersebut dan pembelian melebihi baki semasa SARA dalam MyKad perlu dibayar oleh penerima.
Baki elaun bulanan yang tidak habis digunakan akan dibawa ke bulan-bulan seterusnya dan boleh digunakan bersama dengan elaun bulan semasa. Akan tetapi, sebarang baki elaun yang tidak digunakan sepenuhnya pada akhir tempoh program iaitu 31 Disember 2024 akan luput secara automatik.
Untuk maklumat lebih teliti berkenaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sila rujuk di Portal Rasmi MyKasih – DI SINI.