Pada tahun ini, pelbagai jenis bantuan dan inisiatif telah diperkenalkan atau diteruskan oleh Kementerian atau Jabatan Kerajaan – sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing. Perkara sama juga di bawah Belanjawan 2024 yang telah meneruskan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Bantuan ini merupakan kesinambungan kepada bantuan-bantuan sebelum ini seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan sebagainya. Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024: –
Sumbangan Tunai Rahmah (STR)
Seperti mana yang semua telah sedia maklum, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) adalah bantuan kewangan yang diberikan kepada rakyat Malaysia dalan kategori isi rumah, warga emas dan bujang. Akan tetapi, bantuan ini hanya diberikan kepada mereka berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) yang menepati kelayakan.
Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan syarat-syarat kelayakan STR 2024:
- Isi Rumah
- Kahwin; atau
- Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang mempunyai anak yang menepati syarat; dan
- Pendapatan Isi Rumah adalah RM5,000 dan ke bawah.
- Warga Emas Tiada Pasangan
- Bujang atau Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang tidak mempunyai anak yang menepati syarat; dan
- Had umur adalah 60 tahun dan ke atas; dan
- Pendapatan Warga Emas Tiada Pasangan adalah RM5,000 dan ke bawah.
- Bujang
- Bujang atau Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang tidak mempunyai anak yang menepati syarat; dan
- Had umur adalah 21-59 tahun; dan
- Bujang Orang Kurang Upaya (OKU) berumur 19 tahun dan ke atas; dan
- Bukan pelajar IPTA / IPTS sepenuh masa; dan
- Pendapatan Bujang adalah RM2,500 dan ke bawah.
Jumlah Pembayaran STR
Jumlah pembayaran STR adalah berbeza-beza mengikut kategori, jumlah tanggungan dan pendapatan bulanan penerima. Berikut adalah maklumat jumlah bayaran penuh STR bagi tahun 2024:
- Isi Rumah Pendapatan RM2,500 & ke bawah
- Bilangan anak 0: RM1,000
- Bilangan anak 1 – 2: RM1500
- Bilangan anak 3 – 4: RM2,000
- Bilangan anak 5 & ke atas: RM2,500
- Isi Rumah Pendapatan RM2,501 – RM5,000
- Bilangan anak 0: RM500
- Bilangan anak 1 – 2: RM750
- Bilangan anak 3 – 4: RM1,000
- Bilangan anak 5 & ke atas: RM1,250
- Bujang Pendapatan RM2,500 & ke bawah
- Kadar STR: RM350
- Warga Emas Tiada Pasangan Pendapatan RM5,000 & ke bawah
- Kadar STR: RM600
Kaedah pembayaran STR adalah secara kredit terus ke akaun penerima. Tuntutan tunai di cawangan-cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) pula adalah untuk penerima yang tidak mempunyai akaun bank atau berstatus tidak aktif.
Permohonan dan Kemaskini STR
Bagi tahun 2024, permohonan dan kemaskini STR boleh dibuat sepanjang tahun. Mereka yang boleh membuat permohonan baru adalah:
- Pemohon yang tiada rekod dalam sistem STR 2024; serta
- Berpendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah; atau
- Berpendapatan RM2,500 dan ke bawah untuk individu bujang / tiada pasangan / tiada anak yang menepati syarat kelayakan.
Permohonan pula boleh dibuat dengan dua kaedah iaitu secara dalam talian (online) di Portal Rasmi STR atau dengan mengisi borang STR (BK-01) yang boleh didapati secara percuma di Portal Rasmi STR atau Pejabat HASiL / Pejabat Satelit (PS) / Pusat Transformasi Bandar (UTC) HASiL.
Borang yang lengkap itu perlu diserahkan ke Pejabat HASiL / Pejabat Satelit (PS) / Pusat Transformasi Bandar (UTC) HASiL atau penghantaran secara Pos terhad kepada borang permohonan yang diterima ke alamat:
Peti Surat STR
GPO Shah Alam
40800 Shah Alam
SELANGOR
Atau
Sekretariat STR
Pejabat Belanjawan Negara
Kementerian Kewangan Malaysia
Presint 2
62592 PUTRAJAYA
Diingatkan bahawa penghantaran borang secara faks dan e-mel adalah tidak diterima. Maklumat lebih teliti berkenaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), sila rujuk di Portal Rasminya – DI SINI.