Pelbagai jenis bantuan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan. Bantuan-bantuan ini diperkenalkan melalui pelbagai Kementerian atau Jabatan Kerajaan sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing.
Antaranya adalah apabila pihak Kerajaan memperkenalkan sebuah inisiatif kewangan yang dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH). Bantuan ini diberikan secara bulanan dan berikut adalah maklumat lanjut berkenaannya: –
Bantuan Sara Hidup (BSH) RM300
Bantuan Sara Hidup atau BSH ini diperkenalkan dengan kadar RM300 dan diberikan setiap bulan. Bantuan di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) ini diberikan dengan tujuan untuk meringankan beban sara hidup harian para veteran ATM yang memerlukan.
Syarat-syarat kelayakan bagi bantuan ini adalah seperti di bawah:
- Veteran ATM
- Bekas anggota tetap Angkatan Tentera Malaysia;
- Bekas Tentera British yang berkhidmat di Malaya / Malaysia atau Singapura termasuk Ranger di Sarawak;
- Bekas ahli Pasukan 136 dan bekas Askar Wataniah yang dikerah sepenuh masa
- Had umur yang layak dipertimbangkan BSH adalah 60 tahun keatas dengan pendapatan bulanan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK);
- Tidak diberhentikan dibawah kes tatatertib;
- Balu yang berkahwin semula tidak layak;
- Anak yatim piatu hendaklah berumur kurang dari 18 tahun dan di bawah 21 tahun jika masih belajar. Jika cacat kekal, tiada syarat had umur;
- Faktor kesihatan atau penyakit yang menghalang pekerjaan (dengan pengesahan Pegawai Perubatan Kerajaan), bilangan anak yang bersekolah atau melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi juga boleh dipertimbangkan pemberian BSH.
Cara Memohon
Bagi urusan permohonan bantuan ini, ia boleh dikemukakan dengan mengisi Borang Skim Bantuan Kebajikan JHEV.BK.2019 yang boleh didapati di Portal Rasmi JHEV. Borang permohonan itu perlu diisi sendiri oleh pemohon atau warisnya.
Sila pastikan semua keterangan dan butir-butir yang diberikan hendaklah tepat, betul serta benar. Ini kerana, pemohon bertanggungjawab atas segala maklumat yang diberikan.
Semua permohonan kemudiannya mesti dimajukan melalui Pejabat JHEV Cawangan Negeri mengikut negeri kediaman veteran. Setiap permohonan akan disiasat untuk mengesahkan maklumat yang diberikan. Permohonan akan dipertimbangkan untuk kelulusan oleh Jawatankuasa Kebajikan dan Kemudahan Perubatan (JKKP).
Dimaklumkan juga bahawa setiap permohonan yang diluluskan akan berkuatkuasa selama tiga tahun dari bulan pertama pembayaran pertama dibuat. Permohonan akan dinilai semula dalam tempoh tigatahun tersebut untuk memastikan sama ada Veteran ATM atau penerima BSH itu masih layak diteruskan bayaran atau sebaliknya.
Veteran ATM seterusnya boleh mengemukakan permohonan untuk melanjutkan bayaran Bantuan Sara Hidup sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tamat tempoh tiga tahun itu.
SERTAI SALURAN TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja
Untuk maklumat lebih teliti dan borang permohonan, ia boleh didapati – DI SINI.
Info Tambahan
Menurut kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, sebanyak 28,828 daripada 41,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen di seluruh negara sudah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berjumlah RM300 sebulan, setakat 30 April lepas.
Katanya lagi, pihak kerajaan telah meningkatkan peruntukan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM daripada RM54 juta pada 2022 kepada RM118 juta pada 2023 dan RM244 juta pada tahun ini.
“Ketika saya mula menguruskan hal ini (BSH), jumlah penerima sekitar 6,000 hingga 10,000 veteran, namun kini sudah meningkat kepada lebih 28,000.
“Sudah menjadi tugas kita untuk menjaga kebajikan veteran ini selaras dengan seruan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bagi teras keenam Dasar MADANI iaitu ‘Insan’ dan kita benar-benar melaksanakannya,” katanya.
Di bawah Belanjawan 2024, pihak Kerajaan turut memberi perhatian kepada kesejahteraan anggota beruniform dan para pesara. Antaranya adalah peruntujan sebanyak RM400 juta untuk menyelenggara dan membaik pulih semua Rumah Keluarga Angkatan Tentera. RM20 juta juga disediakan untuk menaik taraf sistem pembetungan Kem Tentera Darat secara berfasa.
Maklumat lebih lanjut berkenaan inisiatif-inisiatif dan usaha-usaha kerajaan di bawah Belanjawan 2024, rujuk di Portal Rasminya – DI SINI.