Pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan. Bantuan-bantuan ini diperkenalkan melalui pelbagai Kementerian atau Jabatan di peringkat Persekutuan atau Negeri sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing.
Salah satunya adalah melalui Skim Mesra kepada mereka yang berkelayakan. Berikut adalah penjelasan lanjut berkenaan skim bantuan ini: –
Baucar RM150 Skim Mesra
Skim Mesra adalah sebuah inisiatif yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor sejak tahun 2009. Ia pada awalnya melibatkan pemberian baucar sebanyak RM100. Namun begitu, jumlah berkenaan telah dinaikkan kepada RM150 mulai tahun 2023.
Makanya, mereka menepati syarat-syarat kelayakan dan diluluskan permohonannya boleh menerima baucar RM150 setiap tahun. Bagi mereka yang tersenarai sebagai penerima tetapi meninggal dunia pula, waris mereka layak menerima khairat kematian sebanyak RM500 secara ‘one-off’.
Syarat-syarat Kelayakan
Skim Mesra Usia Emas (SMUE)
- Warganegara Malaysia; DAN
- Berumur 60 tahun dan ke atas; DAN
- Masih hidup atau meninggal dunia bermula 1 Januari 2021 (perlu mohon dalam tempoh 6 bulan dari tarikh kematian); DAN
- Lahir di Negeri Selangor atau Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974; ATAU
- Lahir di luar Negeri Selangor dan bermastautin di Negeri Selangor sekurang-kurangnya 15 tahun; DAN
- Beralamatkan di Selangor dalam kad pengenalan; DAN
- Sedang menetap di Negeri Selangor; DAN
- Pengundi berdaftar di Selangor semasa pendaftaran dibuat.
Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS).
- Warganegara Malaysia; DAN
- Tiada had umur; DAN
- Pemegang Kad OKU JKM ; DAN
- Masih hidup atau meninggal dunia (perlu mohon dalam tempoh 6 bulan dari tarikh kematian); DAN
- Sedang menetap di Negeri Selangor; DAN
- Pemohon berusia 18 tahun ke atas mestilah pengundi di Selangor semasa pendaftaran dibuat; ATAU
- Pemohon berusia bawah 18 tahun, ibu/bapa/penjaga mestilah pengundi di Selangor semasa pendaftaran dibuat.
Cara Memohon Skim Mesra
Untuk yang memenuhi syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan, permohonan bantuan ini boleh dibuat secara atas talian (online) di Portal Rasmi Skim Mesra. Pemohon juga dikehendaki menghantar borang permohonan beserta dokumen lengkap dengan segera. Permohonan tanpa dokumen lengkap akan terbatal selepas tempoh 6 bulan dari tarikh permohonan dibuat.
Bagi mereka yang diluluskan pemohonannya, baucar berkenaan boleh dituntut di Pusat Khidmat DUN dengan membawa Kad Pengenalan asal ahli berdaftar. Baucar itu hanya boleh digunakan di pasaraya yang telah ditetapkan sahaja dan perlu digunakan dalam tempoh 3 bulan selepas penebusan dibuat.
Baucar yang hilang atau tidak dibelanjakan dalam tempoh 3 bulan tidak boleh diganti. Ahli juga diminta untuk sentiasa kemaskini maklumat nombor telefon bagi mengelakkan terlepas sebarang info terkini.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Bagi tuntutan khairat kematian pula, ia hendaklah dibuat dalam tempoh 6 bulan dari tarikh kematian ahli berdaftar sahaja. Tuntutan yang melewati tempoh 6 bulan dari tarikh kematian ahli berdaftar tidak akan dibayar. Pembayaran pula akan dibuat kepada pewaris yang berdaftar melalui pindahan wang terus ke akaun atau serahan tunai/cek oleh Pusat Khidmat DUN.
Sekiranya si mati belum didaftarkan di bawah Skim Mesra, waris dikehendaki membuat permohonan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh kematian si mati. Tuntutan melewati tempoh 6 bulan dari tarikh si mati meninggal dunia bagi permohonan selepas kematian tidak akan dilayan.
Dimaklumkan juga bahawa waris yang membuat tuntutan baucar Jom Shopping selepas ahli meninggal dunia (dalam tempoh 6 bulan dari tarikh kematian) hanya layak menerima wang khairat kematian sebanyak RM350 sahaja.
Maklumat lebih teliti berkenaan skim ini, boleh dilihat di Portal Rasminya – DI SINI. Bagi yang telah membuat permohonan pula, semakan boleh dibuat secara dalam talian di PAUTAN INI.