Pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan. Bantuan-bantuan ini diperkenalkan melalui pelbagai Kementerian atau Jabatan di peringkat Persekutuan atau Negeri sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing.
Salah satunya adalah bantuan bulanan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ini adalah maklumat berkenaan bantuan kewangan yang telah diperkenalkan di bawah JKM ini: –
Bantuan EPOKU RM450 Setiap Bulan
Bantuan kewangan yang dimaksudkan ini adalah Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU). Insentif ini diberikan bagi menggalakkan orang kurang upaya (OKU) terus bekerja, serta mampu hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif.
Kadar EPOKU yang ditetapkan adalah sebanyak RM450 setiap bulan. Syarat-syarat kelayakannya pula adalah seperti berikut:
- Warganegara, bermastautin dan bekerja di Malaysia;
- Berumur 16 tahun dan ke atas;
- Pemegang kad OKU JKM;
- Pendapatan bulanan RM 1,500.00 dan ke bawah.
Cara Memohon
Untuk memenuhi syarat-syarat kelayakan, permohonan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) ini boleh dibuat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian di seluruh negara. Namun begitu, setiap permohonan yang didaftarkan akan dijalankan siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon.
Perkara ini bersesuaian dengan prinsip penyampaian bantuan yang berdasarkan kepada kelayakan dan bukan hak. Bagi memudahkan urusan pentadbiran, pemohon disarankan membawa dokumen sokongan semasa hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian seperti berikut:
- Salinan Kad Pengenalan diri pemohon;
- Salinan Kad Pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama;
- Salinan sijil kelahiran anak-anak / ahli keluarga yang tinggal bersama;
- Salinan penyata gaji (jika ada);
- Lain-lain dokumen yang berkaitan.
Maklumat lebih lengkap berkenaan bantuan ini, termasuk Borang Permohonan boleh dilihat di Portal Rasmi JKM (DI SINI).
Selain itu, pihak JKM juga ada memperkenalkan Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) untuk membantu OKU yang tidak berupaya bekerja dan mengggalakkan OKU terus tinggal bersama keluarga.
Syarat-syarat kelayakan bantuan ini adalah seperti berikut:
- Warganegara dan bermastautin di Malaysia;
- Berumur 16 tahun dan ke atas;
- Pemegang Kad OKU JKM;
- Tidak berupaya bekerja.
- Pemohon bukan penghuni/ pelatih:
- Institusi kendalian JKM; atau
- Pusat jagaan harian/ berkediaman yang menyediakan perkhidmatan/ kemudahan secara percuma; atau
- Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK);
- Sumber kewangan bulanan individu OKU tidak melebihi kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Per Kapita Semasa.
Permohonannya juga seperti EPOKU iaitu boleh dikemukakan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian di seluruh negara.
JKM adalah salah sebuah agensi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial. Ia juga berobjektif untuk meningkatkan kompetesi, prestasi, produktiviti dan daya inovasi pekerja sektor kebajikan; meningkatkan keupayaan dan memberi nafas baharu kepada organisasi; meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kebajikan; memperluas jaringan kerja dan kolaborasi strategik (multiple helix) dalam dan luar negara; dan membudayakan patriotisme, nilai-nilai murni, etos dan integriti.
Antara strategi yang dijalankan adalah mengoptimumkan keupayaan dan potensi diri serta kesejahteraan kumpulan sasar Jabatan; memastikan aspek Kebajikan di integerasikan dalam perancangan ke arah mencapai pembangunan sosio-ekonomi yang menyeluruh; mempertingkatkan peranan dan keupayaan Jabatan sebagai paksi utama dalam perancangan dan penilaian program-program pembangunan Kebajikan Masyarakat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Ia juga mempertingkatkan perkongsian bijak dan strategik melalui kerjasama dengan semua kumpulan masyarakat, badan-badan bukan kerajaan dan agensi-agensi antarabangsa; memantap dan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan Kebajikan di semua peringkat; mempertingkatkan pengurusan dan penggunaan sumber manusia secara optimum dan mempertingkatkan kualiti perancangan dan pengurusan kewangan serta teknologi maklumat dan komunikasi secara profesional.