Sesuai dengan usaha membantu rakyat, terdapat pelbagai jenis bantuan dan inisiatif telah diperkenalkan oleh pelbagai Kementerian atau Jabatan Kerajaan sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing. Ia juga diberikan dengan kadar tertentu sesuai seperti mana yang telah diluluskan oleh pihak berkenaan (Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan).
Antaranya adalah Bantuan Khas yang diperkenalkan di bawah Kerajaan Negeri Sembilan. Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan bantuan khas berkenaan: –
Bantuan Khas RM2,500
Di bawah Belanjawan Negeri Sembilan 2024, pihak Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) satu bulan setengah gaji atau minimum RM2,500. Bantuan Khas ini diberikan kepada semua penjawat awam negeri berkenaan merangkumi:
- Pegawai lantikan tetap di bawah waran perjawatan negeri, lantikan sementara, Contract Of Service (COS), Contract For Service (CFS) dan Pekerja Sambilan Harian (PSH);
- Pegawai yang bercuti separuh gaji / tanpa gaji tetapi tidak di sepanjang tahun 2023;
- Pegawai yang dipinjamkan ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya tetapi tidak di sepanjang tahun 2023: dan
- Pegawai yang telah bersara / meninggal dunia pada tahun 2023.
Manakala, mereka yang tidak layak menerima Bantuan Khas ini adalah:
- Pegawai yang berkhidmat kurang daripada 30 hari berturut-turut (termasuk semua jenis cuti bergaji penuh yang layak) dalam tahun 2023;
- Pegawai yang bercuti tanpa gaji di sepanjang tahun 2023;
- Pegawai yang dipinjamkan ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya di sepanjang tahun 2023;
- Pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib dalam tempoh 01 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023; dan
- Pegawai yang meletak jawatan dalam tahun 2023.
Tarikh dan Cara Pembayaran
Bagi cara pembayaran Bantuan Khas ini, ia dibuat secara kredit terus ke akaun penerima yang layak. Dalam masa sama, bantuan khas ini tidak melibatkan sebarang permohonan dan akan diberikan secara automatik.
Pembayaran pula akan dibuat sebanyak dua kali iaitu pada penghujung bulan Februari dan Mac 2024:
- Bayaran kali pertama pada 29 Februari 2024 (Khamis) dengan kadar satubulan gaji atau minimum RM1,500;
- Bayaran kali kedua pada 29 Mac 2024 (Jumaat) dengan kadar setengah bulan gaji atau minimum RM1,000.
Oleh itu, nampaknya pembayaran Bantuan Khas ini telah pun selesai disalurkan kepada mereka yang layak. Berkenaan dengan pelaksanaan pada tahun hadapan (2025), ia akan diketahui ketika pembentangan Belanjawan 2025 nanti.
Info Tambahan
Dalam masa sama, Kerajaan Negeri Sembilan turut memperkenalkan sumbangan RM500 kepada golongan belia di negeri itu yang ingin melangsungkan perkahwinan kali pertama.
Malah, warga emas berumur 70 tahun ke atas di negeri berkenaan juga layak menerima sumbangan keceriaan tahunan sebanyak RM200 secara ‘one-off’.
“Sebagai tanda prihatin dan kasih sayang kepada golongan warga emas yang memerlukan, sumbangan Keceriaan sebanyak 200 ringgit seorang kepada warga emas yang berusia 70 tahun ke atas akan disediakan dengan anggaran peruntukan sebanyak RM14.8 juta. Adalah diharapkan peruntukan ini dapat memberikan sedikit keceriaan sebagai tanda kasih kepimpinan negeri kepada warga emas yang telah banyak berjasa mendidik anak bangsa selama ini,” petikan ucapan pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Sembilan.
JOM MASUK TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja
Selain itu, setiap bayi yang dilahirkan di negeri berkenaan juga layak memohon caruman RM100 di bawah Skim Simpanan Pendidikan
Nasional bermula tahun 2024. Dianggarkan sebanyak 16,000 orang bayi dilahirkan di dalam Negeri Sembilan dan oleh itu sebanyak RM1.6 juta diperuntukkan untuk tujuan ini.
Bagi meringankan beban ibu bapa bagi anak-anak yang memasuki Sekolah Berasrama Penuh, Kerajaan Negeri akan memberikan sumbangan sebanyak RM300 ringgit seorang dengan peruntukan RM150 ribu terhad sehingga 500 orang penerima setahun.
Bagi maklumat lebih lengkap berkenaan Belanjawan 2024 Negeri Sembilan, sila rujuk di Portal Rasminya – DI SINI.