Pelbagai jenis bantuan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan. Bantuan-bantuan ini diperkenalkan melalui pelbagai Kementerian atau Jabatan Kerajaan sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing. Objektif utama bantuan-bantuan ini adalah bagi meringankan beban mereka yang layak dan memerlukan.
Antaranya adalah apabila pihak Kerajaan memperkenalkan sebuah inisiatif kewangan yang dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH). Bantuan ini diberikan secara bulanan dan berikut adalah maklumat lanjut berkenaannya: –
Bantuan Sara Hidup (BSH) RM300
Di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV), pihak Kerajaan telah memperkenalkan Bantuan Sara Hidup (BSH) dengan kadar RM300 setiap bulan. Tujuan utama bantuan ini adalah sebagai bantuan kewangan bulanan yang diberi kepada Veteran ATM yang bertujuan untuk meringankan beban sara hidup harian.
Syarat-syarat kelayakan BSH adalah seperti di bawah:
- Veteran ATM
- Bekas anggota tetap Angkatan Tentera Malaysia;
- Bekas Tentera British yang berkhidmat di Malaya / Malaysia atau Singapura termasuk Ranger di Sarawak;
- Bekas ahli Pasukan 136 dan bekas Askar Wataniah yang dikerah sepenuh masa
- Had umur yang layak dipertimbangkan BSH adalah 60 tahun keatas dengan pendapatan bulanan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK);
- Tidak diberhentikan dibawah kes tatatertib;
- Balu yang berkahwin semula tidak layak;
- Anak yatim piatu hendaklah berumur kurang dari 18 tahun dan di bawah 21 tahun jika masih belajar. Jika cacat kekal, tiada syarat had umur;
- Faktor kesihatan atau penyakit yang menghalang pekerjaan (dengan pengesahan Pegawai Perubatan Kerajaan), bilangan anak yang bersekolah atau melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi juga boleh dipertimbangkan pemberian BSH.
Cara Memohon
Bagi yang menepati syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan. Urusan permohonan Bantuan Sara Hidup ini boleh dikemukakan dengan mengisi Borang Skim Bantuan Kebajikan JHEV.BK.2019. Borang ini boleh didapati di Portal Rasmi JHEV dan ia perlu diisi sendiri oleh pemohon atau warisnya.
Borang yang lengkap dan dokumen-dokumen sokongan kemudiannya perlu dimajukan ke Pejabat JHEV Cawangan Negeri mengikut negeri kediaman veteran.
Mustahak dimaklumkan bahawa semua keterangan dan butir-butir yang diberikan hendaklah tepat, betul serta benar. Ini kerana, pemohon bertanggungjawab atas segala maklumat yang diberikan.
Setiap permohonan itu akan disiasat untuk mengesahkan maklumat yang diberikan. Permohonan akan dipertimbangkan untuk kelulusan oleh Jawatankuasa Kebajikan dan Kemudahan Perubatan (JKKP).
Dimaklumkan juga bahawa setiap permohonan yang diluluskan akan berkuatkuasa selama tiga tahun dari bulan pertama pembayaran pertama dibuat. Permohonan akan dinilai semula dalam tempoh tiga tahun tersebut untuk memastikan sama ada Veteran ATM atau penerima BSH itu masih layak diteruskan bayaran atau sebaliknya.
Veteran turut boleh mengemukakan permohonan untuk melanjutkan bayaran BSH sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tamat tempoh tiga tahun itu.
Untuk maklumat lebih teliti dan borang permohonan, ia boleh didapati di Portal Rasmi JHEV – DI SINI.
Info Tambahan
Dalam masa sama, JHEV juga menyediakan Bantuan Persekolahan (BSK) bagi membantu membiayai perbelanjaan memulakan persekolahan di peringkat rendah atau menengah atau vokasional. Semua permohonan bantuan ini perlu dikemukakan pada tahun semasa sahaja selewat-lewatnya sebelum 30 September setiap tahun.
Perkara itu adalah untuk memastikan pembayaran dapat dibuat pada tahun semasa tertakluk kepada peraturan kewangan yang berkuat kuasa. Kadar bantuan yang ditetapkan adalah sebanyak RM500 setahun bagi sekolah rendah dan RM700 setahun bagi sekolah menengah/vokasional.
Syarat-syarat kelayakannya seperti berikut:
- Veteran ATM :
- Bekas anggota tetap Angkatan Tentera Malaysia;
- Bekas Tentera British yang berkhidmat di Malaya / Malaysia atau Singapura termasuk Ranger di Sarawak;
- Bekas ahli Pasukan 136 dan bekas Askar Wataniah yang dikerah sepenuh masa.
- Veteran ATM atau orang tanggungan dengan pendapatan bulanan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) layak memohon bantuan ini;
- Tidak diberhentikan dibawah kes tatatertib;
- Anak-anak yatim Veteran ATM yang berumur di bawah 18 tahun;
- Setiap keluarga hanya layak untuk seorang anak sahaja.
Maklumat lebih lanjut berkenaan inisiatif-inisiatif di bawah JHEV, rujuk di Portal Rasminya – DI SINI.