Pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan. Bantuan-bantuan ini diperkenalkan melalui pelbagai Kementerian atau Jabatan di peringkat Persekutuan atau Negeri sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing.
Dalam masa sama, terdapat juga pelbagai jenis bantuan di bawah Belanjawan 2024 seperti mana yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat. Salah satunya adalah apabila Kerajaan setuju untuk meneruskan pemberian bantuan tunai pada kadar RM150. Ini adalah maklumat lanjut berkenaan bantuan yang telah diperkenalkan: –
Bantuan RM150 ‘one-off’
Salah satu bantuan yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2024 adalah Bantuan Awal Persekutuan atau BAP. Bantuan ini diberikan dengan kadar RM150 secara sekaligus atau ‘one-off’.
Ia diberikan kepada para pelajar dari peringkat Darjah (7 tahun) sehingga Tingkatan 5 (17 tahun) bagi membantu meringankan beban ibu bapa atau penjaga. Menariknya, bantuan ini diberikan kepada semua pelajar, tanpa mengira had pendapatan ibu bapa atau penjaga.
Oleh hal demikian, sekiranya sebuah keluarga itu memiliki 3 orang anak bersekolah, maka jumlah BAP yang diterima adalah sebanyak RM450.
Antara sekolah yang terlibat untuk penerimaan BAP ini adalah:
- Sekolah Kerajaan (SK);
- Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK);
- Sekolah Agama Rakyat/Negeri;
- Sekolah Swasta yang berdaftar dengan Kerajaan (kecuali sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat);
- Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih;
- Sekolah Henry Gurney dan Sekolah Integriti;
- Maktab Rendah Sains MARA;
- Maktab Tentera Diraja.
Pembayaran Bantuan RM150
Pembayaran BAP ini diberikan dengan dua kaedah iaitu secara tunai kepada murid (diagihkan oleh pihak sekolah) atau dikreditkan terus ke akaun murid yang layak.
“BAP bernilai RM150 bagi setiap murid dilaksanakan bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa/penjaga. Penyaluran BAP dilakukan melalui sekolah secara kredit ke akaun murid atau secara tunai,” petikan kenyataan rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia.
Tarikh pembayaran pula dibuat mulai Januari 2024. Manakala, bagi pelajar baru Tahun 1 dan Tingkatan 1, pembayaran akan dibuat pada bulan Mac 2024. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan BAP, sila lihat di Portal Rasmi Belanjawan 2024 – DI SINI.
Info Tambahan
Selain itu, terdapat pelbagai lagi inisiatif yang telah diperkenalkan di bawah Belanjawna 2024. Ia termasuklah seperti program eMADANI yang mempunyai objektif tiga serampang untuk memangkin pendapatan perusahaan mikro kecil sederhana (PMKS), menggalakkan pembayaran tanpa tunai (cashless) dan memanfaatkan rakyat.
Program ini dijangka memanfaatkan lebih 10 juta rakyat Malaysia, melalui pemberian kredit e-Tunai bernilai RM100 yang boleh digunakan bagi pembelian secara fizikal melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang terpilih. Pada masa yang sama, penyedia perkhidmatan e-Tunai yang mengambil bahagian akan turut menawarkan inisiatif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai (cashback), diskaun, mata ganjaran (reward points) dan ‘coins’.
Program ini layak dimohon oleh mereka yang menepati syarat-syarat berikut:
- Warganegara Malaysia; dan
- Mencapai umur 21 tahun ke atas pada tahun 2023; dan
- Merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berdasarkan rekod pada 7 November 2023 ATAU mempunyai pendapatan berjumlah RM100,000 dan ke bawah setahun berdasarkan rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) pada 15 Julai 2023.
SERTAI SALURAN TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja
Akan tetapi, penerima eBeliaRahmah adalah tidak layak untuk menyertai program ini kerana mereka telah menerima manfaat daripada kredit eBeliaRahmah yang diperkenalkan untuk memupuk budaya pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia.
Pendaftaran eMADANI hanya boleh dibuat sekali bagi setiap pemohon yang layak, mulai jam 8.00 pagi, 4 Disember 2023 hingga 11.59 malam, 20 Februari 2024. Kredit eMADANI serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat boleh dibelanjakan sehingga 11.59 malam, 29 Februari 2024.