Banyak jenis bantuan dan inisiatif telah diperkenalkan oleh pelbagai Kementerian atau Jabatan Kerajaan sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing. Hal yang sama juga di bawah Belanjawan 2024 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada tahun lalu.
Antara bantuan yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2024 adalah Sumbangan Asas Rahmah (SARA):-
Bantuan Tambahan Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
Sumbangan Asas Rahmah atau SARA adalah bantuan tambahan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Ia juga merupakan bantuan subsidi bersasar kepada rakyat yang paling terkesan dengan gelumang kos sara hidup.
Bagi tahun 2024, terdapat pelbagai penambahbaikan SARA iaitu:
- Memperluas penerima yang layak untuk SARA merangkumi golongan miskin dan miskin tegar, berbanding tahun 2023 yang hanya terhad kepada miskin tegar;
- Meningkatkan kadar bantuan untuk isi rumah SARA kepada RM1,200 berbanding RM600 pada tahun 2023. Manakala, kadar untuk golongan bujang kekal RM600; dan
- Mengambil kira maklum balas penerima, penggunaan kredit program SARA diperluas daripada hanya makanan asas kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.
Dengan penambahbaikan itu, SARA pada tahun ini dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding tahun 2023, iaitu hanya 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta.
Syarat-syarat Kelayakan SARA
- Warganegara Malaysia;
- Lulus Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kategori Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas Tiada Pasangan; dan
- Tersenarai sebagai penerima Miskin Tegar / Miskin eKasih dalam rekod data eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) sehingga 31 Oktober 2023.
Untuk makluman, SARA tidak memerlukan permohonan dan kelayakannya adalah secara automatik berdasarkan data Miskin Tegar dan Miskin eKasih sehingga 31 Oktober 2023 yang berstatus lulus STR 2024 sahaja.
Cara Pembayaran Bantuan Tambahan SARA
Bagi pembayaran bantuan tambahan STR ini, pelaksanaannya terbahagi kepada dua kaedah seperti:
Penerima daripada negeri Semenanjung Malaysia (selain Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan)
Penerima akan menerima bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai (cashless) berjumlah RM100 / RM50 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2024 – Disember 2024) secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima. Penerima SARA boleh membeli barangan runcit asas daripada kategori produk yang diluluskan di pasar raya / kedai runcit terpilih seluruh negara menggunakan MyKad.
Penerima daripada negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan
Bayaran RM600 / RM300 dua kali setahun (19 Februari 2024 dan 12 Ogos 2024) mengikut kategori melalui pengkreditan ke akaun bank / secara tunai, sama seperti kaedah pembayaran STR 2024.
Bagi penerima di Semenanjung Malaysia, SARA boleh membeli barangan keperluan melalui MyKad masing-masing di pasar raya atau kedai runcit yang mengambil bahagian. Pada ketika ini, lebih daripada 600 rakan runcit di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco), Lulu Supermarket, serta pasar raya dan pasar mini bebas.
Barangan keperluan asas daripada 13 kategori produk yang diluluskan itu pula adalah beras, roti, telur, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, makanan dalam tin, bahan perasa, produk kebersihan, ubat-ubatan dan barangan persekolahan.
JOM MASUK TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja
Cara Pembelian menggunakan MyKad (SARA)
Tatacara membeli menggunakan MyKad adalah seperti di bawah:
- Pilih Barangan Keperluan:
- Penerima bantuan boleh membeli barangan keperluan berdasarkan 13 kategori produk yang mempunyai label MyKasih di rak tanda harga.
- Tunjuk MyKad Untuk Pengesahan:
- Juruwang menyemak status MyKad penerima bantuan.
- Imbas Kod Barangan Imbas Kod Barangan:
- Juruwang mengimbas setiap barang keperluan asas yang ingin dibeli mengikut kategori yang dibenarkan.
- Bayar Menggunakan MyKad:
- Penerima bantuan memasukkan nombor pin 6-digit untuk mengesahkan transaksi pembelian.
- Simpan Resit Untuk Semakan:
- Penerima bantuan menyimpan resit untuk menyemak transaksi pembelian.
Dimaklumkan bahawa baki elaun bulanan yang tidak habis digunakan akan dibawa ke bulan-bulan seterusnya dan boleh digunakan bersama dengan elaun bulan semasa. Akan tetapi, sebarang baki elaun yang tidak digunakan sepenuhnya pada akhir tempoh program iaitu 31 Disember 2024 akan luput secara automatik.
Untuk maklumat lebih teliti berkenaan SARA, sila rujuk di Portal Rasmi MyKasih – DI SINI.