Pelbagai jenis bantuan kewangan dan inisiatif telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan. Antaranya adalah bantuan-bantuan yang telah diperkenalkan oleh RISDA dengan kadar tertentu dan syarat-syarat tertentu.
Berikut adalah maklumat lanjut berkenan jenis-jenis bantuan di bawah RISDA yang telah diperkenalkan:-
5 Jenis Bantuan RISDA
1. Bantuan Pembangunan Usahawan
Program Pembangunan Usahawan INI adalah salah satu cabang dalam Model Perancangan Strategik RISDA (MPSR) bagi tahun 2021 hingga tahun 2025. Secara amnya, MPSR ini dirangka untuk membantu meningkatkan purata pendapatan kolektif dalam kalangan pekebun kecil sebanyak RM4,500 sebulan sekeluarga menjelang akhir tahun 2025.
Program Pembangunan Usahawan mempunyai 5 objektif utama berdasarkan MPSR iaitu:
- Melahirkan 12,500 orang usahawan baru pada akhir tahun 2025;
- Usahawan pekebun kecil memperoleh purata pendapatan sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan sekeluarga pada akhir tahun 2025;
- 5% daripada usahawan pekebun kecil mencapai status Usahawan Mikro dan ke atas pada akhir tahun 2025;
- Mewujudkan seorang usahawan anchor dari kategori Usahawan Mikro dan ke atas bagi semua negeri setiap tahun;
- Mendidik, membimbing dan membangunkan usahawan baru serta sedia ada melalui Program Bimbingan, Latihan dan Pemantauan Keusahawanan RISDA (RRapUP).
Syarat-syarat kelayakan program ini adalah seperti berikut:
- Pemohon mestilah seorang Pekebun Kecil warganegara Malaysia ataupun isteri/suami/anak mengikut Daftar Banci RISDA dan keutamaan diberi kepada individu yang berada dalam kumpulan B40.
- Mempunyai minat, berpengetahuan serta berkemahiran dalam bidang yang hendak diceburi.
- Pemohon mesti berkeupayaan melaksanakan projek secara sepenuh masa.
- Bersedia dan sanggup untuk menghadiri sebarang jenis latihan atau kursus samada teknikal / kemahiran / kemantapan diri (sikap) yang ditentukan oleh RISDA sebelum dan semasa melaksanakan projek.
- Hanya penoreh yang berdaftar dengan RISDA sahaja layak untuk memohon projek Laman Kebun (Bantuan Sara Hidup).
2. Bantuan Tanam Semula
Melalui program bantuan ini, RISDA mendorong pekebun kecil untuk menanggung sebahagian kos tanam semula getah. Bagi pekebun kecil yang layak, mereka akan menerima dana sehingga RM14,995 sehektar dan secara berperingkat bagi menampung kos tanam semula getah.
Syarat-syarat kelayakan am bantuan tanam semula adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia: Anda merupakan warganegara Malaysia dan memiliki kad pengenalan sah.
- Pekebun Kecil: Anda merupakan waris, pemegang amanah atau pemilik tanah dengan jumlah keluasan kurang daripada 40 hektar.
- Geran Sah: Tanah yang dipohon memiliki hakmilik tanah (geran) yang sah. Sekiranya anda tidak mempunyai geran yang sah, anda perlu mendapatkan pengesahan daripada Pejabat Tanah atau Agensi Kerajaan berkenaan.
- Luas Minimum: Mempunyai luas minimum seluas 0.1 hektar.
3. Program Agromakanan
Program Agromakanan merupakan salah satu inisiatif Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi membantu Pekebun Kecil meningkatkan penghasilan dan pendapatan melalui bidang pertanian selain dari sumber getah. Program Agromakanan RISDA (PAM) ini adalah selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) dan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.
Kategori Program Agromakanan adalah: Tanaman Jangka Pendek, Ternakan dan Pemasaran. Kadar bantuannya pula adalah seperti di bawah:
- Pekebun Kecil (Individu): RM20,000
- Pekebun Kecil (Berkelompok, 3 – 5 orang): RM60,000 – RM100,000 (RM20,000/peserta)
- Integrator Anchor: RM300,000/projek
- Integrator Ejen Pelaksana: RM300,000/projek
Permohonan boleh dibuat dengan mengisi Borang Program Agromakanan RISDA yang boleh didapati di pejabat RISDA yang berdekatan dan anda akan dibantu oleh pegawai RISDA untuk membuat permohonan.
SERTAI SALURAN TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja
4. Program Getah Matang
Program ini telah dilaksanakan oleh RISDA bermula dari Rancangan Malaysia Ketujuh (RMKe-7) dan ditambah baik dari tahun ke tahun menerusi Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) sehingga ke Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Pelaksanaan Program Getah Matang yang dilaksanakan adalah meliputi:
- Program Peningkatan Produktiviti Getah (PPG): Input pertanian untuk meningkatkan keluasan getah matang bertoreh dan amalan teknologi oleh pekebun kecil
- Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG): Input pertanian untuk meningkatkan produktiviti getah
- Skim Insentif Lateks (SIL): Input pertanian dan penyelenggaraan kebun serta insentif upah penoreh
- Kemudahan Infrastruktur Pemasaran (KIP): Pembinaan atau kemudahan infrastruktur pemasaran untuk aktiviti pemasaran pekebun kecil
Syarat-syarat kelayakannya adalah seperti berikut:
- Pekebun Kecil getah kategori pemilik pengusaha yang memiliki, menguruskan dan mengusahakan tanah sendiri atau bersama ahli keluarga; dan
- Menjadi ahli projek pemasaran berkelompok; dan
- Menghasilkan dan menjual lateks; dan
- Pelaksanaan oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) / Syarikat Milikan RISDA (SMR) / Koperasi Pekebun Kecil (KPK)
Untuk maklumat lebih lengkap berkenaan bantuan-bantuan dan program-program yang diperkenalkan boleh dirujuk di Portal Suara RISDA – DI SINI.