Pelbagai jenis inisiatif dan bantuan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan, khususnya di kalangan B40. Bantuan-bantuan itu datang dalam pelbagai bentuk seperti tunai, baucar, e-wallet, simpanan, sewaan rumah, pembinaan rumah dan sebagainya.
Ia termasuklah melalui Skim Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan PPR yang mungkin ramai belum tahun:-
Rumah PPR
Secara umumnya, Program Perumahan Rakyat (PPR) adalah sebuah usaha kerajaan untuk penempatan semula setinggan dan memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah (B40). Program ini mula diperkenalkan pada tahun 2002 dan sehingga kini dengan 159 projek siap sepenuhnya.
Terdapat dua kategori utama program ini iaitu PPR Dimiliki dan PPR Disewa. Bagi PPR Dimiliki harga jualan rumah adalah mulai RM40,000 seunit. Manakala, bagi PPR Disewa pula – harga sewaan rumah bermula RM250 sebulan.
Bagi kawasan bandar, pembinaan Rumah PPR adalah bertingkat (Strata). Manakala, PPR di kawasan pinggir bandar pula – bertanah (landed). Semua rumah yang dibina di bawah kedua-dua program PPR Dimiliki dan PPR Disewa akan menggunakan spesifikasi perancangan dan rekabentuk perumahan kos rendah yang ditetapkan dalam Standard Perumahan Kebangsaan Bagi Perumahan Kos Rendah Rumah Pangsa (CIS2).
Ciri-ciri rumah PPR adalah seperti berikut:
- Keluasan: Tidak kurang daripada 700 kaki persegi
- Binaan: 3 Bilik Tidur, 1 Ruang Tamu, 1 Ruang Dapur, 2 Bilik Air
- Kemudahan Asas:
- Dewan Komuniti/Ruang Orang Ramai
- Surau/Ruang Solat
- Gerai Makan/Ruang Niaga
- Tadika
- Kemudahan OKU
- Taman Permainan/Kawasan Lapang
- Rumah Sampah
Syarat-syarat Kelayakan
- Pemohon dan pasangan Warganegara Malaysia;
- Berumur 18 tahun ke atas;
- Pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan;
- Pemohon dan pasangan tidak pernah memiliki rumah;
- Mengikut syarat-syarat tambahan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.
Cara Memohon
Bagi yang menepati syarat-syarat, permohonan PPR boleh dibuat secara dalam talian (online) di Portal Teduh KPKT dan Portal Sistem Pengurusan Perumahan Negara (SPRN).
Jika anda ingin mendapatkan maklumat asas berkaitan PPR di seluruh negara, boleh hubungi talian-talian berikut:
- ZON (Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu & Pahang) – 03-8891 4072/4070/4068/4067
- ZON (Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Perak & Johor) – 03-8891 4069/4064/4063
- ZON (KL, Sabah, Sarawak , WP Labuan & Pulau Pinang – 03-8891 4071/4066/4065
Maklumat lengkap berkenana PPR boleh dirujuk DI SINI, manakala senarai projek boleh dilihat DI SINI.
Selain itu, KPKT melalui Jabatan Perumahan Negara juga menawarkan inisiatif Rent-To-Own di bawah PPR seliaan KPKT mulai tahun 2022. Sehingga 31 Januari 2023, sebanyak 19 Projek PPR RTO telah siap di seluruh negara.
Skim ini ditawarkan kepada pemohon atau bakal pembeli rumah yang gagal mendapatkan pinjaman perumahan daripada institusi kewangan bagi membiayai kos pembelian rumah. Kadar sewaan PPR RTO mulai RM225 sebulan untuk tempoh selama 20 tahun.
Dalam masa sama, KPKT juga memperkenalkan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) iaitu sebuah program bantuan membaik pulih / menyelenggara perumahan berstrata kos rendah dan sederhana rendah swasta di seluruh negara kecuali di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pelaksanaan program ini berdasarkan permohonan daripada badan pengurusan (JMB/ MC) kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Lembaga Perumahan Negeri yang seterusnya dipanjangkan kepada Bahagian Penyelenggaraan Perumahan, JPN. Kelulusan seterusnya adalah tertakluk kepada pertimbangan KPKT dan dipanjangkan kepada PBT/ Lembaga Perumahan sebagai Agensi Pelaksana projek penyelenggaraan di skim perumahan berkenaan.
Pelaksanaan program TPPM ini adalah mengikut kaedah berikut:
- Pembiayaan 100% kos baik pulih/ penyelenggaraan;
- Anggaran awal kos projek perlu disahkan oleh jabatan/ unit teknikal Agensi Pelaksana;
- Kelulusan akhir bagi kerja baik pulih/ penyelenggaraan adalah tertakluk kepada peruntukan sedia ada dan keutamaan pertimbangan diberikan kepada skim perumahan yang telah menubuhkan JMB/ MC.