Seperti mana tahun – tahun sebelum ini, pelbagai jenis bantuan juga telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan pada tahun ini (2024) bagi membantu mereka yang memerlukan. Bantuan-bantuan ini diperkenalkan melalui pelbagai Kementerian atau Jabatan di peringkat Persekutuan atau Negeri sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing.
Ia termasuklah sebuah bantuan di bawah RISDA yang dikenali sebagai Bantuan Musim Tengkujuh (BMT). Berikut adalah maklumat lanjut tentang bantuan yang telah diperkenalkan ini: –
Bantuan Musim Tengkujuh 2024
Musim Tenkujuh atau Monsun Timur Laut adalah keadaan di mana negara menghadapi taburan hujan luar biasa atau hujan lebat berterusan. Selalunya, ia melanda Malaysia bermula pada bulan Oktober sehingga Mac. Musim ini juga memungkinkan pelbagai peristiwa berlaku seperti banjir, tanah runtuh, ribut dan sebagainya.
Hujan lebat turut boleh menjejaskan sektor tertentu seperti pertanian dan perladangan. Dalam hal ini, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah memperkenalkan sebuah program yang dikenali sebagai Bantuan Musim Tengkujuh.
Bantuan ini pada asasnya merupakan bantuan tahunan yang diberikan oleh RISDA untuk membantu pekebun kecil dan penoreh getah yang pendapatannya terjejas akibat musim tengkujuh. Inisiatif ini merupakan salah satu cara pemerintah untuk membantu mereka yang terkena dampak buruk musim ini setiap tahun.
Kadar bantuan ini ditetapkan sebanyak RM800 dan akan diberikan sebanyak empat kali sebanyak RM200 pada bulan November dan Disember tahun semasa serta Januari dan Februari tahun seterusnya.