Pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan. Bantuan-bantuan ini diperkenalkan melalui pelbagai Kementerian atau Jabatan Kerajaan sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing.
Begitulah juga dengan sebuah bantuan kewangan yang dikenali sebagai IKPP. Ini adalah penerangan lanjut berkenaan bantuan ini: –
Sumbangan IKPP RM250 secara sekaligus
Untuk makluman semua, Kerajaan Negeri Pahang telah memperkenalkan sebuah inisiatif yang dikenali sebagai Insentif Khas Pasangan Pengantin atau IKPP. Melalui inisiatif ini, pasangan pengantin baru di negeri berkenaan layak menerima sumbangan tunai dari Kerajaan Negeri sebanyak RM250 secara sekaligus (one-off).
Sebenarnya, kadar itu telah dinaikkan oleh pihak Kerajaan Negeri Pahang – kerana sebelum ini kadar IKPP adalah RM200 sahaja.
Syarat-syarat Kelayakan IKPP
- Terbuka hanya kepada anak-anak Negeri Pahang sahaja;
- Sama ada pengantin lelaki atau perempuan mestilah anak kelahiran Negeri Pahang;
- Pasangan pengantin yang mana pengantin lelaki sahaja berpendapatan RM5,000 dan ke bawah layak menerima insentif;
- Bagi perkahwinan di luar negeri Pahang, pengantin lelaki mestilah anak kelahiran Pahang.(Kebenaran Luar Negeri (KBLN))
Perkahwinan ini mestilah didaftarkan di Negeri Pahang dengan Kebenaran Pejabat Agama Islam Daerah; - Perkahwinan anak Pahang yang didaftarkan di luar negeri Pahang,pengantin perlu membuat permohonan dan pengesahan di Pejabat Agama Islam (di mana tempat permohonan);
- Bagi pemastautin di negeri Pahang sekurang-kurangnya 10 tahun atau lebih, perlu mendapatkan pengesahan dari Penghulu/ADUN Kawasan/pengurus FELDA/Imam Qaryah atau Penyelaras;
- Duda atau Janda atau salah seorang yang mana pasangannya adalah anak negeri Pahang dan berkelayakan, perkahwinan kali pertama dengan pasangan yang lain, layak untuk menerima insentif.
Cara Memohon
Bagi mereka yang memenuhi syarat-syarat kelayakan, permohonan sumbangan tunai ini boleh dibuat dengan mengisi Borang Permohonan IKPP secara lengkap. Ia juga perlu dilampirkan bersama dokumen-dokumen berikut:
- 2 Salinan Kad Pengenalan pemohon (depan dan belakang);
- 1 Salinan catatan akad nikah pemohon;
- 2 Salinan penyata akaun bank pemohon.
Borang itu kemudiannya perlu dihantar ke Pejabat Agama Islam Daerah di mana Permohonan Kebenaran atau Pendaftaran Perkahwinan dibuat.
Maklumat lebih lengkap dan borang permohonan bantuan ini boleh didapati di Portal e-Munakahat Pahang – DI SINI.
Pada 2022, Kerajaan Negeri Pahang memaklumkan bahawa kadar kelahiran di Pahang sangat rendah dan usaha untuk meningkatkan jumlah penduduk di negeri itu dilakukan. Ini kerana, berdasarkan data Jabatan Perangkaan pada 2020, kadar kelahiran di negeri berkenaan hanya sekitar 25,279 orang setahun secara purata.
Oleh itu, kerajaan negeri pahang telah menaikkan bayaran Insentif Khas Pasangan Pengantin (IKPP) bagi perkahwinan kali pertama dari RM200 kepada RM250 bagi pasangan pengantin anak Pahang berpendapatan RM5000 dan ke bawah mulai tahun ini.
“Langkah ini memberi manfaat kepada hampir 14,000 pasangan pengantin di negeri ini. IKPP yang diperkenalkan sejak 2020 adalah untuk menarik minat golongan belia berkahwin dan membantu meringankan bebanan pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga,” kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam masa sama, di bawah Belajawan 2024 Pahang, pihak Kerajan turut memperkenalkan Pahang Pride Kid iaitu sebuah sumbangan sebanyak RM300 kepada 25,000 bayi baru lahir pada tahun 2024 dengan setiap kelahiran akan menerima barangan bayi bernilai RM50 dan Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai RM250. Program ini melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM7.5 juta.
Pihak Kerajaan Negeri juga meneruskan pelaksanaan program Pahang Pride Student iaitu merupakan Kad Diskaun 20 peratus kepada ibu bapa yang mempunyai anak di tadika atau taska dan semua guru yang mengajar di semua tadika atau taska, sekolah rendah dan sekolah menengah.