Pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan. Bantuan-bantuan ini diperkenalkan melalui pelbagai Kementerian atau Jabatan di peringkat Persekutuan atau Negeri sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing.
Salah satunya adalah bantuan-bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ini adalah maklumat lebih jelas berkenaan bantuan kewangan yang telah diperkenalkan: –
Bantuan Am Persekutuan
Salah satu bantuan kewangan bulanan yang diperkenalkan di bawah JKM adalah Bantuan Am Persekutuan. Bantuan ini berobjektif untuk diberikan kepada individu/keluarga yang kurang berkemampuan dan berkeperluan bertujuan bagi meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.
Kadar Bantuan Am Persekutuan yang ditetapkan adalah minima RM100 seorang dan maksimum RM350 sekeluarga. Ia adalah bantuan secara bulanan (dikreditkan setiap bulan kepada yang layak dan diluluskan permohonannya).
Syarat-syarat Kelayakan
- Warganegara dan bermastautin di Wilayah Persekutuan;
- Pendapatan isi rumah tidak melebihi:
- Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) purata miskin isi rumah semasa; atau
- PGK purata miskin Per Kapita Semasa
- Golongan yang memerlukan dan keluarga miskin yang tidak diliputi di bawah mana-mana skim bantuan bulanan JKM lain.
Cara Memohon
Untuk memenuhi syarat-syarat kelayakan, permohonan Bantuan Am Persekutuan boleh dikemukakan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, Labuan atau Putrajaya. Ini keranba, bantuan ini hanya terbuka kepada mereka yang bermastautin di Wilayah Persekutuan sahaja.
Bagi memudahkan urusan permohonan, pemohon hendaklah membawa dokumen-dokumen seperti salinan Kad Pengenalan diri pemohon, salinan Kad Pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama, salinan sijil kelahiran anak-anak / ahli keluarga yang tinggal bersama, salinan penyata gaji (jika ada), dan lain-lain dokumen yang berkaitan ketika mengemukakan permohonan.
Setiap permohonan yang didaftarkan pula akan dijalankan siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon. Perkara ini sesuai dengan prinsip penyampaian bantuan yang berdasarkan kepada kelayakan dan bukan hak.
Dalam masa sama, terdapat juga Bantuan Am Negeri. Akan tetapi, kadarnya adalah berdasarkan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri masing-masing. Syarat-syarat kelayakan juga tertakluk seperti mana yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri masing-masing.
Maklumat lebih lengkap berkenaan bantuan ini boleh dilihat di Portal Rasmi JKM (DI SINI) atau Portal Rasmi Belanjawan 2024 (DI SINI).
Selain itu, JKM juga ada memperkenalkan Bantuan Am Negeri. Akan tetapi, kadarnya berbeza berbanding Bantua Am Persekutuan kerana ia ditetapkan oleh Kerajaan Negeri masing-masing.
Sebagai contoh Bantuan Am Negeri Sabah adalah sebanyak minima RM200 sehingga maksimum RM350 sebulan. Syarat-syarat kelayakannya pula adalah seperti di bawah:
- Warganegara Malaysia dan bermastautin tetap di Negeri Sabah;
- Pendapatan isi rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita semasa; DAN
- Individu atau keluarga yang tidak berupaya berdikari dan hidup dalam keadaan daif atau miskin; ATAU
- Pesakit yang disahkan oleh Pegawai Perubatan menghidap penyakit kronik yang serius, memerlukan rawatan lanjut yang kerap sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 3 bulan, dan tidak berupaya bekerja; ATAU
- Pesakit mental yang disahkan oleh Pegawai Perubatan atau Psikiatri, dan tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap; ATAU
- Orang Kurang Upaya berumur 18 tahun ke atas yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap; ATAU
- Penjaga yang sedang memberi penjagaan kepada kanak-kanak di bawah umur 18 tahun atau orang dewasa yang berumur 18 tahun ke atas sama ada mempunyai ikatan kekeluargaan atau sebaliknya dari keluarga miskin yang tidak berupaya berdikari dan berada dalam keadaan menghidap penyakit mental, penyakit kronik, OKU atau terlantar; ATAU
- Balu / Janda / Duda bertanggungan yang terikat dengan anak-anak berumur di bawah 18 tahun atau sehingga tingkatan 6; ATAU
Tanggungan banduan yang menanggung anak-anak di bawah umur 18 tahun atau sehingga tingkatan 6.
Maklumat lanjut tentang Bantuan Am Negeri Sabah boleh dilihat – DI SINI.