Pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan. Bantuan-bantuan ini diperkenalkan melalui pelbagai Kementerian atau Jabatan di peringkat Persekutuan atau Negeri sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing.
Ia termasuklah bantuan-bantuan bulanan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diberikan kepada mereka yang memerlukan. Berikut adalah penjelasan lanjut berkenaan salah satu bantuan bulanan di bawah JKM ini: –
Bantuan RM500 kepada warga emas
Antara bantuan yang diperkenalkan di bawah JKM adalah Bantuan Warga Emas (BWE). Bantuan ini pada asasnya diberikan kepada warga emas miskin tegar (yang memenuhi kriteria kelayakan) untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan hidup. Ia juga bagi meringankan beban mereka dalam membeli barangan keperluan harian, dari segi makanan, pakaian, utiliti dan sebagainya.
Kadar Bantuan Warga Emas ini diberikan dengan kadar RM500 dan dikreditkan setiap bulan kepada mereka yang menepati syarat-syarat kelayakan.
Syarat-syarat Kelayakan
- Warganegara dan bermastautin di Malaysia;
- Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas;
- Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa; dan
- Warga emas yang bukan tinggal di:
- Institusi kendalian JKM; atau
- Pusat jagaan harian/ berkediaman yang memberi kemudahan / perkhidmatan secara percuma.
Cara Memohon
Tentang cara memohon bantuan bulanan ini, permohonan boleh dibuat di Pejabat Kebajikan Masyarakat terdekat di seluruh negara. Borang permohonan itu boleh didapati di Pejabat JKM atau melalui portal rasmi JKM.
Untuk memudahkan urusan permohonan, pemohon perlu membawa dokumen-dokumen sokongan ketika membuat permohonan seperti berikut:
- Salinan Kad Pengenalan diri pemohon;
- Salinan Kad Pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama;
- Salinan sijil kelahiran anak-anak / ahli keluarga yang tinggal bersama;
- Salinan penyata gaji (jika ada);
- Lain-lain dokumen yang berkaitan.
Setiap permohonan yang didaftarkan akan menjalani siasatan bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon. Hal ini sesuai dengan prinsip penyampaian bantuan yang berdasarkan kepada kelayakan dan bukan hak.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Perkara itu selaras dengan Senarai Bersama (Concurrent List) antara Kerajaan persekutuan dengan Kerajaan Negeri, yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah senarai 3 – jadual kesembilan Senarai Perundangan.
Maklumat lebih teliti berkenaan Bantuan Warga Emas (BWE) dan borang permohonan boleh dilihat di Portal Rasmi JKM – DI SINI.
Dalam masa sama, JKM juga memperkenalkan Bantuan Am Persekutuan kepada individu atau keluarga kurang berkemampuan dan berkeperluan untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.
Kadar Bantuan Am Persekutuan ini adalah sebanyak minima RM100 sebulan seorang dan maksimum RM350 sekeluarga. Syarat-syarat kelayakan bantuan ini adalah seperti di bawah:
- Warganegara dan bermastautin di Wilayah Persekutuan;
- Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa;
- Golongan yang memerlukan dan keluarga miskin yang tidak diliputi di bawah mana-mana skim bantuan bulanan JKM lain.
Permohonan bantuan ini hanya boleh dibuat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) sahaja. Ini kerana, bantuan ini hanya layak diberikan kepada mereka yang bermastautin di Wilayah Persekutuan.
Adalah disarankan bahawa hanya mereka yang menepati syarat-syarat kelayakan sahaja yang boleh mengemukakan permohonan. Hal ini bersesuai dengan konsep memberikan bantuan kepada mereka yang benar-benar layak dan berhak.