Pelbagai jenis bantuan dan kemudahan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan bagi membantu masyarakat. Bantuan-bantuan dan kemudahan ini diperkenalkan melalui pelbagai Kementerian atau Jabatan Kerajaan sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing.
Antaranya termasuklah berkaitan dengan semakan dan mendapatkan semula Wang Tak Dituntut (WTD). Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan WTD ini: –
Wang Tak Dituntut (WTD)
Pada asasnya Wang Tak Dituntut (WTD) adalah wang yang kena dibayar di sisi undang-undang kepada empunya tetapi tidak dibayar dalam satu tempoh masa tidak kurang dari satu tahun. Berikut adalah contoh-contoh sumber WTD:
- Gaji, upahan, bonus, komisen dan wang lain yang kena dibayar kepada kakitangan;
- Dividen;
- Keuntungan yang diisytiharkan untuk dibahagikan;
- Tuntutan insurans yang telah diluluskan untuk bayaran;
- Draf bank, cashier’s order, dan dokumen lain yang mempunyai fungsi yang serupa di mana tempoh sah lakunya telah luput;
- Simpanan tetap (tanpa arahan pembaharuan automatik) yang telah matang;
- Cagaran dan deposit apabila tujuan wang itu dikutip telah tercapai;
- Pemiutang pelbagai atau penghutang pelbagai berbaki kredit.
Menurut Seksyen 13(1) Akta WTD 1965, bayaran WTD hendaklah dibayar kepada mana-mana penerima yang dapat membuktikan bahawa beliau mempunyai hak ke atas WTD dan apabila Pegawai WTD berpuas hati bahawa penerima ialah empunya yang berhak.
Menurut Kementerian Kewangan, setakat 31 Disember 2023 – jumlah terkumpul wang yang tidak dituntut adalah sebanyak RM11.7 bilion. Berdasarkan rekod setengah tahun sebelumnya, jumlah WTD adalah sekitar RM11.3 bilion dan meningkat kepada RM11.7 bilion dalam tempoh enam bulan.
Semak dan dapatkan semula WTD
Pada ketika ini, pihak Kerajaan melalui Jabatan Akauntan Negara telah memperkenalkan kemudahan bagi tujuan semakan dan mendapatkan kembali WTD. Semakan WTD boleh dibuat secara dalam talian (online) di Portal e-GUMIS Jabatan Akauntan Negara oleh individu dan syarikat/firma dengan tatacara berikut:
- Langkah 1 : Layari portal e-GUMIS;
- Langkah 2 : Buat pendaftaran pengguna secara atas talian;
- Langkah 3 : Log masuk portal menggunakan kata laluan yang didaftar;
- Langkah 4 : Kemaskini maklumat pengguna;
- Langkah 5 : Klik pada “KLIK DI SINI UNTUK CARIAN WANG TAK DITUNTUT” untuk membuat Semakan WTD melalui nombor pengenalan diri atau nombor pendaftaran syarikat dan cetak maklumat Wang Tak Dituntut tersebut (jika ada);
- Langkah 6 : Klik “Cetak”, jika perlu.
Sekiranya hasil semakan menunjukkan adanya WTD, maka tuntutan boleh dibuat dengan cara berikut:
- Langkah 1 : Layari Portal e-GUMIS;
- Langkah 2 : Klik pada ruangan “KLIK DI SINI UNTUK CARIAN WANG TAK DITUNTUT” untuk membuat semakan WTD melalui nombor pengenalan diri. Klik Cetak maklumat Wang Tak Dituntut tersebut (jika perlu);
- Langkah 3 : Klik pada rekod WTD yang ingin dituntut pilih “Teruskan Dengan Permohonan”;
- Langkah 4 : Klik pada “Tambah Penerima” untuk masukkan perihal penerima WTD. Pilih pada kotak yang disediakan sekiranya. Maklumat Diri adalah sama seperti Maklumat Pemohon, masukkan maklumat perbankan dan kemudian “Simpan”.;
- Langkah 5 : Muat naik dokumen sokongan bagi kategori “MANDATORI”;
- Langkah 6 : Tandakan pada dua kotak untuk bersetuju dengan pengakuan serta terma dan syarat eGUMIS dan Klik Hantar. Pilih Ya untuk menghantar permohonan tuntutan;
- Langkah 7 : Rujuk Portal eGUMIS untuk status permohonan WTD.
SERTAI SALURAN TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja
Dimaklumkan juga bahawa tiada had minima amaun yang boleh dituntut dan tuntutannya tidak melibatkan sebarang caj. Dalam masa sama, tiada faedah yang akan dibayar. Menurut Seksyen 11(3) Akta WTD 1965, amaun bayaran adalah berdasarkan amaun di dalam Daftar WTD yang diterima daripada syarikat/firma tanpa apa-apa faedah.
Bagi maklumat lebih lengkap berkenaan perkara ini, sila lihat di Portal Rasmi e-GUMIS DI SINI.