Pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan. Bantuan-bantuan ini diperkenalkan melalui pelbagai Kementerian atau Jabatan di peringkat Persekutuan atau Negeri sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing.
Salah satunya adalah Bantuan Am Persekutuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ini adalah maklumat lebih jelas berkenaan bantuan kewangan ini: –
Bantuan Am Persekutuan
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memperkenalkan sebuah bantuan kebajikan yang dikenali sebagai Bantuan Am Persekutuan. Bantuan ini pada asasnya diberikan kepada individu/ keluarga kurang berkemampuan dan berkeperluan untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.
Kadar Bantuan Am Persekutuan yang ditetapkan adalah sebanyak minima RM100 seorang dan maksimum RM350 sekeluarga. Ia diberikan secara bulanan iaitu dikreditkan setiap bulan.
Syarat-syarat Kelayakan
- Warganegara dan bermastautin di Wilayah Persekutuan
- Pendapatan isi rumah tidak melebihi:
- Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) purata miskin isi rumah semasa; atau
- PGK purata miskin Per Kapita Semasa
- Golongan yang memerlukan dan keluarga miskin yang tidak diliputi di bawah mana-mana skim bantuan bulanan JKM lain.
SERTAI SALURAN TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja
Cara Memohon
Untuk memenuhi syarat-syarat kelayakan, permohonannya boleh dikemukakan di Pejabat Kebajikan Masyarakat di Kuala Lumpur, Labuan atau Putrajaya (Wilayah Persekutuan). Ini kerana, bantuan ini hanya terbuka keoada mereka yang bermastautin di Wilayah Persekutuan sahaja.
Bagi memudahkan urusan permohonan, pemohon hendaklah membawa dokumen-dokumen seperti salinan Kad Pengenalan diri pemohon, salinan Kad Pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama, salinan sijil kelahiran anak-anak / ahli keluarga yang tinggal bersama, salinan penyata gaji (jika ada), dan lain-lain dokumen yang berkaitan ketika mengemukakan permohonan.
Dimaklumkan bahawa setiap permohonan yang didaftarkan akan dijalankan siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon. Urusan ini bersesuaian dengan prinsip penyampaian bantuan yang berdasarkan kepada kelayakan dan bukan hak.
Dalam masa sama, terdapat juga Bantuan Am Negeri. Akan tetapi, kadarnya adalah berdasarkan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri masing-masing. Syarat-syarat kelayakan juga tertakluk seperti mana yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri masing-masing.
Maklumat lebih lengkap berkenaan bantuan ini boleh dilihat di Portal Rasmi JKM – DI SINI.
Selain itu, terdapat juga bantuan bulanan JKM kepada orang kurang upaya (OKU) seperti Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU). Bantuan ini diberikan untuk menggalakkan OKU terus bekerja, serta mampu hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif.
Kadar EPOKU yang ditetapkan adalah sebanyak RM450 setiap bulan. Syarat-syarat kelayakannya seperti berikut: Warganegara, bermastautin dan bekerja di Malaysia; Berumur 16 tahun dan ke atas; Pemegang kad OKU JKM dan Pendapatan bulanan RM 1,500.00 dan ke bawah.
Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja pula diberikan dengan kadar sebanyak RM300 setiap bulan. Bantuan ini adalah bagi membantu OKU yang tidak berupaya bekerja dan mengggalakkan mereka untuk terus tinggal bersama keluarga. Syarat-syarat kelayakan bantuan ini adalah seperyi berikut:
- Warganegara dan bermastautin di Malaysia;
- Berumur 16 tahun dan ke atas;
- Pemegang Kad OKU JKM;
- Tidak berupaya bekerja.
- Pemohon bukan penghuni/ pelatih:
- Institusi kendalian JKM; atau
- Pusat jagaan harian/ berkediaman yang menyediakan perkhidmatan/ kemudahan secara percuma; atau
- Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK);
- Sumber kewangan bulanan individu OKU tidak melebihi kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Per Kapita Semasa.
Maklumat lebih lengkap berkenaan bantuan-bantuan di bawah JKM boleh dilihat di Portal Rasminya – DI SINI.