Pelbagai jenis bantuan kewangan dan inisiatif telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan. Ia adalah bagi meringankan beban mereka yang memerlukan, khususnya di kalangan rakyat Malaysia dalam kategori B40 dan M40.
Salah satu yang menarik perhatian adalah melalui sebuah insiatif yang dikenali sebagai Rumah Mesra Rakyat (RMR). Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan bantuan rumah ini:
Bantuan Bina Rumah RMR
Rumah Mesra Rakyat (RMR) adalah sebuah Program yang diperkenalkan untuk membantu golongan yang memerlukan dan tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah sendiri yang sempurna dan selesa.
Konsep RMR ini adalah sebuah rumah setingkat dengan 3 buah bilik tidur dan 2 buah bilik air yang boleh dibina di tanah sendiri. Keluasan rumah pula adalah 750 kps. Rumah RMR juga datang dengan bantuan kerajaan dalam bentuk subsidi pembinaan sebanyak RM20,000.
Harga rumah RMR pula adalah antara RM75,000 hingga RM85,000 dan pembiayaan diuruskan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Syarat-syarat Kelayakan
- Warganegara Malaysia.;
- Pemohon mestilah berumur 18 sehingga 65 tahun;
- Pendapatan bulanan seisi rumah tidak melebihi RM 5,000;
- Pemohon dan pasangan tidak memiliki rumah sendiri / atau memiliki rumah usang / tidak sempurna;
- Tanah/tapak cadangan mestilah bersesuaian dan bebas daripada gadaian/bebanan/sekatan ke atasnya. Jika pemohon bukan tuan punya tanah, pemohon mestilah mendapat kebenaran daripada tuan punya tanah yang dicadangkan;
- Keluasan tanah tidak kurang daripada 3,000 kps (tertakluk kepada rekabentuk);
- Tertakluk kepada peruntukan kewangan.
Cara Memohon RMR
Untuk yang menepati syarat-syarat kelayakan, permohonan Rumah Mesra Rakyat boleh dilaksanakan secara atas talian (online) di Sistem Permohonan RMR. Berikut adalah tatacara membuat permohonan:
- Tekan butang permohonan di Portal Pendaftaran RMR;
- Klik pendaftaran baru dan isi borang pendaftaran login dengan lengkap;
- Login ID dan kata laluan akan dihantar kepada pemohon;
- Log masuk ke Laman Utama, dengan menggunakan login ID (e-mel) dan kata laluan yang diberikan untuk memulakan permohonan RMR;
- Lengkapkan borang dengan mengisi maklumat ke dalam sistem;
- Klik selesai pendaftaran borang dan cetak borang;
- Hantar borang beserta dokumen ke Pejabat Cawangan SPNB yang berdekatan;
- Maklum balas dalam tempoh 3 bulan dan kelulusan adalah tertakluk kepada peruntukan tahunan.
Pemohon juga perlu menyediakan dokumen-dokumen sokongan berikut ketika permohonan:
- Salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan (jika berkenaan);
- Salinan kad pengenalan tuan tanah;
- Salinan kad pengenalan pemohon kedua (jika berkaitan);
- Salinan geran hakmilik tanah terbaru dan sijil carian rasmi dari Pejabat Tanah yang terbaru;
- Slip gaji terkini (3 bulan) / surat akuan sumpah pendapatan / surat pengesahan pendapatan pemohon / pemohon kedua*;
- Surat akuan sumpah / surat pengesahan tidak memiliki rumah atau memiliki rumah yang usang*;
- Surat akuan kebenaran pelepasan tuan tanah;
- Salinan sijil nikah pemohon;
- Borang laporan tapak bergambar.
SERTAI SALURAN TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja
Dimaklumkan bahawa Surat Pengesahan pendapatan/ tidak memiliki rumah/ memiliki rumah usang perlu disahkan melalui Penghulu / Ketua kampung / Pegawai Profesional Kelas A. Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) juga berhak untuk mendapatkan dokumen tambahan tertakluk kepada keperluan dari semasa ke semasa.
Format bagi Surat Akuan Bersumpah dan Borang Lawatan Tapak Bergambar disediakan oleh SPNB. Manakala, keperluan pemohon kedua adalah bertujuan untuk pengambilan insurans (pinjaman) dan mewakili pemohon (jika perlu) bagi tujuan pembayaran bulanan.
Sekiranya permohonan diluluskan, tanggungjawab pemohon seterusnya adalah:
- Perlu mengisi dan melengkapkan borang permohonan;
- Perlu menyediakan tapak cadangan termasuk jalan masuk untuk pembinaan;
- Perlu menyediakan sumber bekalan air dan elektrik;
- Perlu membuat penyambungan bekalan utiliti setelah rumah disiapkan;
- Perlu membuka akaun bank bagi pembayaran balik bulanan.
Maklumat lengkap dan lebih teliti berkenaan RMR boleh dilihat di Portal Rasmi SPNB – DI SINI.