Pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan. Bantuan-bantuan ini diperkenalkan melalui pelbagai Kementerian atau Jabatan di peringkat Persekutuan atau Negeri sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing.
Salah satunya adalah apabila pihak Kerajaan Persekutuan membenarkan pengeluaran KWSP melalui pelbagai program antaranya seperti i-Sinar, i-Citra, i-Lestari dan sebagainya.
Namun begitu, baru-baru ini pihak KWSP telah pun mengumumkan pelaksanan Penstrukturan Semula Akaun bagi setiap ahlinya yang berusia 55 tahun ke bawah. Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan pelaksanaan ini: –
Penstrukturan Semula Akaun KWSP
Bagi meningkatkan keselamatan pendapatan selepas persaraan dan menangani keperluan jangka pendek, KWSP akan melaksanaan penstrukturan semula akaun bagi setiap ahlinya yang berumur 55 tahun ke bawah. Ini kerana, selepas ini setiap ahli KWSP akan memiliki tiga jenis akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel (Akaun 3).
Akaun Persaraan pada asasnya merupakan Akaun 1 yang dijenamakan semula tetapi mengekalkan objektif akaun berkenaan. Ia bertujuan untuk mengumpul dan meningkatkan simpanan persaraan ahli dalam jangka masa panjang bagi kehidupan yang selesa selepas persaraan.
Simpanan dalam akaun ini tidak boleh dikeluarkan sebelum ahli berumur 55 tahun. Akan tetapi, ahli yang layak boleh melaburkan sebahagian daripada simpanan Akaun Persaraan dalam pelaburan yang diuruskan oleh Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang diluluskan, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
Akaun Sejahtera pula merupakan nama baru bagi Akaun 2 dan ia berobjektif untuk memenuhi keperluan kitaran hidup pra-persaraan bagi jangka sederhana yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan. Melalui akaun ini, ahli boleh membuat pengeluaran untuk perkara-perkara yang dibenarkan seperti pendidikan, kesihatan, perumahan, insurans dan usia mencapai 50 tahun.
Manakala, akaun baru yang diperkenalkan adalah Akaun 3 atau Akaun Fleksibel. Simpanan dalam akaun ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa oleh ahli. Walaubagaimanapun, KWSP menggalakkan pengeluaran cuma digunakan pada waktu kecemasan dan untuk keperluan mendesak sahaja.
Akaun 3 (Akaun Fleksibel)
Pelaksanaan penstrukturan semula akaun ini akan bermula pada 11 Mei 2024. Selepas tarikh itu, ahli ada pilihan untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera sebagai amaun permulaan ke Akaun Fleksibel.
Untuk ahli yang mempunyai baki simpanan RM3,000 dan ke atas dalam Akaun Sejahtera, baki simpanan dalam akaun itu akan diagihkan mengikut nisbah di bawah:
- Sepuluh per tiga puluh (10/30) ke Akaun Fleksibel;
- Lima belas per tiga puluh (15/30) kekal dalam Akaun Sejahtera;
- Lima per tiga puluh (5/30) ke Akaun Persaraan.
Bagi yang mempunyai baki simpanan kurang daripada RM3,000 dalam Akaun Sejahtera pula,pengagihan akan dibuat seperti berikut:
- Akaun Sejahtera yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel.
- Akaun Sejahtera yang mempunyai simpanan melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000, manakala baki adalah kekal dalam Akaun Sejahtera.
- Tiada pindahan akan dibuat ke Akaun Persaraan bagi simpanan dalam Akaun Sejahtera kurang dari RM3,000.
SERTAI SALURAN TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja
Ahli boleh membuat pilihan pindahan amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel secara dalam talian (online) melalaui Sistem KWSP i-Akaun atau Self-Service Terminal (SST) di mana-mana pejabat KWSP. Tempoh pemindahan ini dibuka bermula pada 12 Mei 2024 sehingga 31 Ogos 2024.
Jika ahli tidak memilih untuk membuat pindahan amaun permulaan, baki sedia ada dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera akan kekal. Caruman baru mulai 11 Mei 2024 akan dikreditkan ke Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.
Jumlah minima yang boleh dikeluarkan dari Akaun 3 adalah RM50, sama ada selepas pindahan amaun permulaan daripada Akaun Sejahtera telah dibuat atau setelah pengkreditan caruman baharu.
Maklumat lengkap berkenaan Akaun 3 KWSP dan penstruturan semula akaun, ia boleh diteliti di Portal Rasmi KWSP – DI SINI.