Pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan. Bantuan-bantuan ini diperkenalkan melalui pelbagai Kementerian atau Jabatan di peringkat Persekutuan atau Negeri sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing.
Salah satunya adalah apabila pihak Kerajaan Persekutuan membenarkan pengeluaran KWSP melalui pelbagai program antaranya seperti i-Sinar, i-Citra, i-Lestari dan sebagainya.
Akan tetapi, terdapat pelbagai lagi faktor yang membenarkan para ahli KWSP mengeluarkan simpanan mereka, sama ada secara penuh, sebahagian atau jumlah tertentu. Berikut adalah senarai perkara yang membenarkan pengeluaran KWSP secara penuh: –
Pengeluaran Penuh KWSP
Mencapai usia 55 tahun
Untuk ahli yang telah mencapai usia 55 tahun, mereka boleh membuat pengeluaran sama ada sebahagian atau penuh simpanan mereka. Akaun 1 dan Akaun 2 juga ketika ini akan digabungkan serta dikenali sebagai Akaun 55.
Jika ahli memilih untuk terus bekerja selepas usia 55 tahun, caruman yang diterima selepas itu akan dikreditkan ke dalam Akaun Emas.
Mencapai usia 60 tahun
Bagi ahli yang telah mencapai usia 60 tahun, Akaun 55 dan Akaun Emas akan digabungkan dan boleh dikeluarkan. Ketika itu, ahli boleh membuat pengeluaran secara sekali gus atau sebahagian pada bila-bila masa.
Meninggalkan Negara
Sekiranya ahli memilih untuk melepaskan atau melucutkan taraf kewarganegaraan Malaysia mereka untuk berhijrah ke negara lain; atau ekspatriat; penduduk tetap (PR); atau pekerja asing yang kembali ke negara asal. Mereka boleh memilih untuk mengeluarkan kesemua simpanannya di KWSP.
Hilang upaya
KWSP juga membenarkan pengeluaran penuh dari Akaun 1 dan Akaun 2 sekiranya ahli mengalami hilang upaya sama ada secara fizikal atau mental sehingga menghalang mereka untuk bekerja. Dalam masa sama, KWSP juga akan memberi sumbangan sebanyak RM5,000 bagi meringankan beban mereka.
Meninggal dunia
Jika ahli meninggal dunia, waris boleh membuat pengeluaran semua simpanan mereka. Makanya, ahli sangat digalakkan untuk membuat penamaan bagi membolehkan waris terdekat mengeluarkan simpanan KWSP tanpa sebarang kesulitan.
Cara Memohon
Jika menepati syarat-syarat yang dinayatakan, permohonan pengeluaran boleh dibuat secara dalam talian (online) melalui e-Pengeluaran (i-Akaun) KWSP atau di cawangan-cawangan KWSP terdekat.
Pembayaran itu kemudiannya akan dikreditkan ke akaun bank ahli seperti mana yang dinyatakan ketika membuat permohonan.
SERTAI SALURAN TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja
Maklumat lengkap boleh diteliti di Portal Rasmi KWSP – DI SINI.