Pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan.
Bantuan-bantuan ini melalui pelbagai Kementerian atau Jabatan di peringkat Persekutuan atau Negeri sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing.
Salah satunya adalah apabila pihak Kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui pelbagai program antaranya seperti i-Sinar, i-Citra, i-Lestari dan sebagainya.
Akan tetapi, terdapat pelbagai lagi perkara yang membenarkan para ahli KWSP mengeluarkan simpanan mereka, sama ada secara penuh, sebahagian atau jumlah tertentu. Berikut adalah senarai perkara yang membenarkan pengeluaran KWSP secara penuh: –
Berusia 55 Tahun
Bagi para ahli yang telah mencapai usia 55 tahun, caruman yang diterima ke dalam Akaun 1 dan Akaun 2 akan digabungkan ke dalam Akaun 55. Ahli kemudiannya membuat pengeluaran semua atau sebahagian daripada simpanan mereka daripada akaun ini pada bila-bila masa.
Jika ahli memilih untuk terus bekerja selepas usia 55 tahun, caruman yang diterima selepas itu akan dikreditkan ke Akaun Emas yang hanya boleh dikeluarkan apabila ahli mencapai umur 60 tahun.
Berusia 60 Tahun
Pengeluaran ini pula adalah lanjutan daripada pengeluaran pada usia 55 tahun. Pada usia ini, kesemua simpanan yang terkumpul dalam Akaun 55 (jika ada) dan Akaun Emas akan digabungkan untuk pengeluaran. Ahli boleh memilih untuk membuat pengeluaran secara sekali gus atau sebahagian pada bila-bila masa untuk membiayai persaraan mereka.
Kehilangan Upaya
Jika ahli mengalami kehilangan upaya secara fizikal atau mental untuk bekerja, mereka boleh membuat pengeluaran penuh KWSP. Malah, mereka juga akan menerima RM5,000 sebagai Bantuan Hilang Upaya untuk meringankan beban ahli.
SERTAI SALURAN TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja
Meninggalkan Negara
Sekiaranya ahli telah melepaskan atau melucutkan taraf kewarganegaraan Malaysia untuk berhijrah ke negara lain; atau ekspatriat; penduduk tetap (PR); atau pekerja asing yang kembali ke negara asal, mereka boleh memilih untuk mengeluarkan kesemua simpanan di KWSP.
Meninggal Dunia
Pengeluaran KWSP boleh dibuat oleh waris setelah ahli meninggal dunia. Dalam hal ini, pihak KWSP sangat menggalakkan para ahlinya membuat penamaan bagi membolehkan waris terdekat mengeluarkan simpanan KWSP tanpa sebarang kesulitan.
Pengeluaran KWSP
Bagi kesemua urusan pengeluaran ini, ia boleh dibuat secara atas talian melalui e-Pengeluaran (i-Akaun) KWSP atau cawangan-cawangan KWSP terdekat.
Pembayaran itu kemudiannya akan dikreditkan ke akaun bank ahli seperti mana yang dinyatakan ketika membuat permohonan.
Maklumat lengkap dan permohonan i-Lindung, ia boleh diteliti di Portal Rasmi KWSP – DI SINI.