Lembaga Tabung Haji (TH) adalah sebuah institusi Islam yang menyediakan pelbagai kemudahan secara komprehensif dan sistematik demi kebajikan Jemaah Haji Malaysia. TH juga menjalankan aktiviti pelaburan bagi memberi nilai tambah kepada para pendepositnya.
Pada ketika ini, TH mempunyai sekitar sembilan juta pendeposit dengan 107 cawangan dan lebih 10,000 titik sentuh di seluruh negara. TH turut mempunyai satu pejabat yang beroperasi di Jeddah, Arab Saudi di bawah bidang kuasa Konsulat Malaysia.
Dividen Tabung Haji
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, TH mengumumkan agihan pendapatan (dividen) sebanyak 3.1 peratus yang akan dimanfaatkan kira-kira 8.7 juta pendepositnya.
Jumlah agihan pendapatan itu akan memakan kadar sebanyak RM2.65 bilion berbanding RM2.46 bilion pada 2021.
Agihan Keuntungan tahun 2022 adalah setelah TH melunaskan pembayaran zakat sebanyak RM97 juta kepada semua Majlis Agama Islam Negeri bagi pihak pendeposit, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM1.27 bilion sehingga kini.
Semak Dividen
Bagi setiap pendeposit TH, semakan dividen boleh dibuat muali jam 12 tengah hari, Sabtu, 29 April 2023 menerusi platform THIJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.
SERTAI SALURAN TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja
Dalam perkembangan sama, TH memaklumkan Malaysia mendapat semula kuota asal jemaah haji berjumlah 31,600 dengan pertambahan kuota tambahan pertama sebanyak 350 jemaah.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Mokhtar, berkata pada ketika ini – pihak Kerajaan sedang membuat rayuan kedua iaitu penambahan sehingga 10,000 lagi kuota, yang dijangka akan diketahui Mei ini.
“Kita berharap kuota tambahan dapat diluluskan bagi membolehkan lebih ramai peluang rakyat Malaysia menunaikan haji.
“Bagi rayuan pertama sebanyak 350 kuota sudah lulus dan rayuan kedua iaitu penambahan 10,000 lagi kuota masih dalam rayuan dan kita jangka awal Mei jawapan akan diterima,” katanya dalam sidang media pengumuman agihan keuntungan TH tahun 2022.
Sumber: Utusan Malaysia & Berita Harian