Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai jenis bantuan untuk membantu masyarakat Malaysia yang memerlukan.
Antaranya termasuklah bantuan bulanan kepada mereka yang layak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dikenali sebagai Bantuan Am Negeri.
Tujuan utama bantuan ini adalah diberikan kepada individu/ keluarga kurang berkemampuan dan berkeperluan untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.
Berikut adalah penerangan berkenaan Bantuan Am Negeri:
Kadar Bantuan
Kadar bantuan bagi Bantuan Am Negeri adalah minimum sebanyak RM100 sebulan untuk seorang dan maksimum sebanyak RM350 untuk sekeluarga.
Syarat-syarat Kelayakan
- Warganegara dan bermastautin di Wilayah Persekutuan;
- Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa;
- Golongan yang memerlukan dan keluarga miskin yang tidak diliputi di bawah mana-mana skim bantuan bulanan JKM lain; ATAU
- Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.
Cara Memohon
Kepada yang menepati syarat-syarat yang ditetapkan, permohonan bantuan boleh dibuat di mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat terdekat dengan mengemukakan dokumen-dokumen berikut:
- Salinan Kad Pengenalan diri pemohon
- Salinan Kad Pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama
- Salinan sijil kelahiran anak-anak / ahli keluarga yang tinggal bersama
- Salinan penyata gaji (jika ada)
- Lain-lain dokumen yang berkaitan.
Maklumat lanjut berkenaan bantuan ini boleh dirujuk DI SINI atau menghubungi JKM di talian: 03 – 8000 8000.