Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memperkenalkan pelbagai jenis bantuan untuk meringankan beban mereka yang terjejas, sama ada melalui bantuan bulanan atau sekaligus.
Berkenaan dengan bantuan sekaligus, salah satunya dikenali sebagai Geran Pelancaran yang bertujuan untuk:
- Pemerkasaan ekonomi kumpulan sasar JKM yang produktif, mempunyai minat, kemahiran dan potensi untuk menjana pendapatan individu/ keluarga.
- Mewujudkan program pembangunan dan pengintergrasian bagi membantu klien mencapai matlamat ke arah berdikari.
Melalui Geran Pelancaran, mereka yang layak boleh menerima bantuan kewangan sebanyak RM2,700 secara ‘one-off’ bagi tujuan menjana pendapatan seperti memulakan perniagaan kecil-kecilan.
Syarat-syarat Kelayakan
- Warganegara dan bermastautin di Malaysia;
- Kumpulan sasar JKM;
- Tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa; ATAU
- Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.
Berkenaan dengan terma kumpulan sasar JKM, pemohon mestilah penerima bantuan sedia ada JKM seperti bantuan bulanan.
Oleh hal demikian, sekiranya seseorang itu bukan kumpulan sasar JKM, mereka perlulah mengemukakan permohonan bantuan bulanan terlebih dahulu, dan sekiranya telah tersenarai sebagai penerima bantuan, maka bolehlah permohonan Geran Pelancaran dikemukakan.
Cara Memohon
Bagi yang ingin membuat permohonan dan menepati syarat-syarat kelayakan, ia boleh dikemukakan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan/Bahagian terdekat.
Bagi memudahkan urusan pentadbiran, pemohon juga diminta untuk membawa dokumen-dokumen sokongan seperti berikut:
- Salinan Kad Pengenalan diri pemohon
- Salinan Kad Pengenalan suami/isteri/ibu/bapa/anak yang tinggal bersama
- Salinan sijil kelahiran anak-anak/ahli keluarga yang tinggal bersama
- Salinan penyata gaji (jika ada), dan
- Lain-lain dokumen yang berkaitan
Maklumat terperinci berkenaan Geran Pelancaran boleh didapati DI SINI.