Sebagai usaha meringankan beban rakyat ketika ini, kerajaan akan memberi Bantuan Khas COVID-19 (BKC) kepada isi rumah kategori miskin tegar, B40 dan M40 termasuk golongan bujang bermula Ogos 2021.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata – ia bakal memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan dana sebanyak RM4.6 billion.
Berikut adalah nilai BKC dan syarat kelayakannya:
- Isi rumah miskin tegar: RM500 pada Ogos, RM500 pada November, dan RM300 pada Disember.
- Bujang miskin tegar: RM200 pada Ogos dan RM300 pada November.
- Isi rumah B40: RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember.
- Bujang B40: RM200 pada Ogos.
- Isi rumah M40: RM250 pada Ogos
- Bujang M40: RM100 pada Ogos.
Selain itu, pelaksanaan program Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) fasa-3 tetap akan berjalan pada tahun ini dengan kadar bantuan antara RM100 hingga RM1,400 yang akan dibayar pada September.
Dalam pengumuman sama, Kerajaan turut memberikan bantuan kewangan sebanyak RM500 kepada pekerja yang kehilangan pendapatan berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Perkeso tahun 2021.