Kerana mahu melindungi kepentingan dan kesihatan pelanggan, majikan kini berhak meletakkan syarat vaksin dalam kontrak penggajian pekerja masing-masing.
Memetik laporan Nanyang Siang Pau, walaupun pengambilan vaksin Covid-19 tidak mewajibkan kepada orang ramai oleh kerajaan, tetapi majikan boleh meletakkan syarat berkenaan dalam kontrak dengan pekerja.
Tambah laporan itu, jika kontrak dan syarat itu dipersetujui pekerja yang menerima kerja yang ditawarkan, maka pekerja harus mematuhi syarat vaksinasi atau dianggap sebagai melanggar kontrak.
Ia juga boleh dianggap sama dengan syarat ujian kesihatan yang ditetapkan sesetengah syarikat untuk memastikan pekerja sihat dan boleh menjalankan tugas yang diamanahkan.
Dalam masa sama, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berpandangan, syarat berkenaan adalah munasabah kerana majikan perlu melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“Jika kami tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk melindungi pekerja daripada jangkitan COVID-19, maka kami mungkin telah melanggar undang-undang mengenai tanggungjawab majikan,” katanya.
Apa yang pasti, banyak majikan di luar sana yang melakukan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan pekerja mereka menerima vaksin, antaranya memberikan ganjaran tunai, cuti dan sebagainya.
Ia dilihat satu perkembangan positif dalam usaha memulihkan negara dari ancaman pandemik yang masih belum menemui jalan noktah ini.
Sumber: MalaysiaGazette