Walaupun sejak kemerdekaan, Akta Kerja 1955 telah menetapkan 48 jam bekerja untuk rakyat di negara ini – waktu itu dilihat sudah tidak begitu releven lagi dan sepatutnya diubah kepada 40 jam seminggu sahaja.
Perkara ini sekali lagi dibangkitkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang pernah menghantar cadangan sama kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini bagi meminda Akta Kerja 1955.
Berkata kepada Sinar Harian, Pemangku Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani menyatakan, cadangan tersebut wajar dilaksanakan kerana ia bersesuaian dengan norma masa kini berbanding kehidupan sebelum pandemik Covid-19.
“Pada zaman kerajaan PH, MTUC ada menghantar usul kepada jawatankuasa teknikal untuk meminda akta kerja (kepada 40 jam dalam seminggu). Dulu akta kerja 48 jam ditetapkan kerana mungkin dalam satu isi rumah itu hanya suami yang bekerja, manakala isteri tidak bekerja.
Tetapi hari ini, suami dan isteri bekerja. Jadi kita perlu waktu bekerja dikurangkan supaya mereka mempunyai masa untuk keluarga. Jadi itu antara sebab kami meminta waktu bekerja selama 40 jam seminggu.
Cuma sejauh mana cadangan itu dipersetujui kerajaan atau mana-mana pihak, itu kami masih belum mendapat maklum balas daripada kerajaan,” – katanya, petikan dari Sinar Harian.
Tambahnya lagi, cadangan ini sebenarnya lebih baik dari apa yang pernah dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini iaitu 45 jam seminggu.
Katanya, jika saranan tersebut berjaya dipinda, ia tertakluk kepada implementasi majikan dalam sektor kerja masing-masing.
“Sebab itu, apabila Perdana Menteri mencadangkan pindaan akta bekerja selama 45 jam itu, secara dasarnya memang kami menyambut baik. Namun, cadangan yang diutarakan oleh MTUC lebih baik daripada itu, maknanya kami meminta waktu bekerja 40 jam seminggu.
“Tempoh bekerja 40 jam itu boleh pergi kepada lima hari bekerja. Secara dasarnya, ia akan pergi kepada semua sektor,” katanya.
Sumber: Sinar Harian.