Pada 8 April lalu, seorang pemandu lori menang kes di Mahkamah Majistret Kampar, selepas beliau disaman oleh majikannya sendiri berkaitan dengan tuntutan bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
K Ramadas telah bekerja sebagai pemandu lori sejak 2002 di Syarikat Teik Joo Chan Sdn Bhd (TJC). Syarikat tersebut telah bertindak menyamannya sebanyak RM26,207 menggunakan alasan bahawa Ramadas hanyalah pemandu kontraktor bebas dan bukannya pekerja yang diupah syarikat.
Menurut laporan, walaupun syarikat itu menuntut bayaran caruman KWSP, sebenarnya syarikat itu sendiri telah gagal membayar caruman berkenaan sebelum itu.
Setelah berlakunya perbicaraan di Mahkamah Majistret selama tujuh hari, mahkamah mendapati tuntutan saman itu adalah tidak berasas dan menolaknya dengan kos.
Mahkamah memutuskan Ramadas bukanlah seorang pemandu kontraktor bebas, sebaliknya beliau seorang pekerja seperti yang ditakrifkan di bawah Akta Kerja 1955 dan Akta KWSP 1991.
“…tuntutan syarikat TJC terhadap pekerjanya adalah bersifat res judicata (perkara yang hendak dibicarakan itu telah diputuskan oleh mahkamah sebelum ini), dan proses mahkamah telah disalahgunakan kerana ia telah melibatkan prosiding yang berulang untuk perkara sama yang sudah pun diputuskan di Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini.” – kata peguamnya, Bawani
Tambah Bawani lagi, pemandu-pemandu lori itu bukanlah pekerja kontraktor bebas, kerana mereka tidak pernah menandatangani sebarang kontrak perjanjian dengan pihak syarikat yang menyatakan mereka ialah kontraktor bebas.
Dengan kemenangan K Ramadas ini, sekali lagi hak pekerja ditegakkan dan membuktikan bahawa keberanian diperlukan bagi menentang sebarang ketidakadilan.
Sumber: SOSIALIS.net
Banyak lagi jawatan kosong terkini di Channel Telegram Jawatan Kerja ==> https://t.me/jawatankerja
Mohon share di group-group, serta saudara mara, rakan-rakan dan jiran tetangga yang sedang mencari pekerjaan. #kitabantukita